Skip to main content

Advertisement

Berita

“Dengan Solat, Mudah Untuk Saya Terus Berkarya…” – Harris J

“dengan solat, mudah untuk saya terus berkarya…” – harris jFoto: Instagram

Menjalani kehidupan sebagai seorang penyanyi antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila terdedah dengan pelbagai cabaran yang boleh melalaikan serta mengubah niat sebenar seseorang penggiat seni. Bagi Harris J atau nama penuhnya Alharith Jung, 28, kekuatan utama yang sentiasa memelihara dirinya dalam dunia muzik ialah solat lima waktu yang tidak pernah ditinggalkan.

Advertisement

Menurut anak kelahiran London itu, solat menjadi tiang yang membantunya kekal berhubung dengan Allah SWT, malah menjadikan segala urusannya termasuk dalam bidang seni lebih mudah. Harris mengakui, dengan solat dia mampu mengekalkan ketenangan jiwa dan memastikan setiap karya yang dihasilkan tidak tersasar daripada tujuan asal.

Katanya, walaupun pernah mengecap kejayaan dengan menghasilkan muzik di luar genre yang dibawanya kini, kepuasan itu tidak pernah benar-benar hadir. Lagu yang pernah mencatat jumlah strim tertinggi di Spotify sepatutnya memberi kegembiraan, namun hakikatnya dia berasa kosong kerana tiada nilai rohani yang mendalam dalam karya tersebut. Justeru, Harris menegaskan misinya kini lebih jelas iaitu menghasilkan muzik yang dapat mendekatkan dirinya serta para pendengar dengan Tuhan.

Beliau percaya al-Quran adalah sumber kekuatan paling besar dan muzik seharusnya menjadi medium untuk mengingatkan manusia kepada agama. Katanya, ada muzik yang boleh menjauhkan seseorang daripada al-Quran, namun ada juga yang mampu mendekatkan hati kepada Allah SWT. Bagi dirinya, muzik perlu dijadikan batu loncatan untuk semakin hampir kepada Pencipta, sepertimana inspirasi yang diperoleh apabila mendengar karya penyanyi nasyid terkenal, Maher Zain.

Harris turut berkongsi bahawa pengalaman hidup banyak membentuk dirinya, terutama apabila kehilangan insan-insan penting sebelum sempat memberikan sesuatu yang bermakna. Situasi itu menjadikan beliau lebih menghargai masa dan menyedari bahawa setiap perkara di dunia ini hanyalah pinjaman sementara daripada Allah SWT.

Selepas beberapa tahun menyepi, Harris kini kembali dengan album EP terbaharu berjudul Revival yang diterbitkan oleh Awakening Music. Album itu menandakan kebangkitan semula dirinya bukan sahaja dalam kerjaya seni, tetapi juga dalam perjalanan spiritual sebagai seorang Muslim. Mengandungi enam lagu termasuk Qalbi Fil Madinah yang menampilkan kolaborasi bersama Maher Zain, O Allah, Salati, Always Listening serta single utama Hayati, album tersebut sarat dengan mesej keimanan, kasih sayang dan ketulusan. Video muzik Hayati turut dihasilkan secara sinematik di Granada, Sepanyol oleh pengarah berdarah Perancis-Tunisia, Idris Kheder.

Harris dalam masa sama meluahkan rasa istimewanya terhadap Malaysia yang menurutnya sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan kariernya. Beliau berharap album Revival dapat diterima baik oleh peminat tempatan dan menjadi peneman spiritual kepada mereka yang mendengar.

Tambahnya, karya itu bukan sekadar produk seni semata-mata, tetapi misi peribadi untuk membantu generasi muda Muslim berasa lebih bangga dengan identiti Islam yang dibawa. Harris menegaskan bahawa melalui muzik, beliau ingin menanam keyakinan bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna dan sentiasa menjadi panduan untuk menuju kebahagiaan hakiki.

Sumber: Kosmo

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda