Skip to main content

Advertisement

Berita

Hanya 73 Trak Bantuan Dibenarkan Masuk ke Gaza, 133 Terkorban Akibat Kebuluran

hanya 73 trak bantuan dibenarkan masuk ke gaza, 133 terkorban akibat kebuluranFoto: Bernama

Krisis kemanusiaan di Gaza terus memburuk apabila pihak berkuasa tempatan melaporkan hanya 73 trak bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk dalam tempoh 24 jam yang lalu, di sebalik kebuluran teruk yang melanda wilayah itu susulan sekatan berterusan oleh Israel.

Advertisement

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, Pejabat Media Kerajaan Gaza mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 133 penduduk, termasuk 87 kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kekurangan makanan sejak bermulanya serangan yang digambarkan sebagai perang genosid oleh rejim Zionis.

Kenyataan itu menyifatkan keadaan kini sebagai “krisis kemanusiaan paling parah dalam sejarah wilayah berkenaan,” serta menuduh Israel sengaja mewujudkan kekacauan dan kebuluran sebagai sebahagian daripada strategi peperangan mereka.

“Kebuluran sedang merebak secara meluas dan kini menjejaskan keseluruhan penduduk Gaza, termasuk lebih 1.1 juta kanak-kanak,” ujar kenyataan tersebut.

Walaupun beberapa negara dan agensi antarabangsa mengumumkan hasrat untuk menyalurkan bantuan dalam jumlah besar, jumlah sebenar yang berjaya sampai ke Gaza sangat sedikit. Malah, beberapa trak bantuan dilaporkan telah dirompak atau dihalang masuk oleh tentera Israel, yang terus mengawal ketat sempadan.

Menurut pejabat media itu, hanya tiga penghantaran bantuan udara telah berjaya dilakukan setakat ini. Namun, jumlah keseluruhan bantuan yang diterbangkan hanya setara dengan dua buah trak, yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan lebih dua juta penduduk.

Lebih membimbangkan, bantuan tersebut turut dijatuhkan ke kawasan ‘zon merah’, iaitu zon pertempuran aktif mengikut peta tentera Israel, sekali gus menyukarkan penduduk awam untuk mendapatkan akses dengan selamat.

“Apa yang berlaku sekarang hanyalah satu sandiwara antarabangsa. Janji-janji bantuan hanyalah palsu dan penuh maklumat mengelirukan,” jelas kenyataan itu lagi, sambil mengecam sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa.

Pihak berkuasa Gaza turut mengulangi gesaan agar semua lintasan sempadan dibuka segera tanpa sebarang syarat, bagi membolehkan bantuan makanan, air bersih dan susu bayi disalurkan kepada penduduk yang terdesak.

Menurut pihak berkuasa Palestin, Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 buah trak bantuan sehari untuk memenuhi keperluan asas kira-kira 2.4 juta penduduk yang terperangkap di wilayah itu.

Pada hari yang sama, Israel mengumumkan pelaksanaan gencatan senjata bersifat sementara dan setempat bagi membolehkan bantuan dihantar melalui koridor selamat. Namun, langkah itu dianggap tidak mencukupi memandangkan kadar kematian akibat kebuluran terus meningkat.

Sementara itu, Jordan memaklumkan bahawa tiga penghantaran bantuan udara telah dilakukan lebih awal pada Ahad, dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Rakaman dan gambar yang tersebar di media menunjukkan keadaan penduduk Gaza yang amat menyayat hati, dengan tubuh kurus kering, sebahagiannya tinggal rangka, serta tumbang akibat keletihan, dehidrasi dan kebuluran berpanjangan.

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak 18 tahun lalu, dan menutup sepenuhnya semua lintasan sempadan sejak 2 Mac lalu, sekali gus memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia genting di wilayah yang terkepung itu.

Sumber: Bernama

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda