Skip to main content

Advertisement

Berita

Gahnya Dunia Miniatur Mazlina

gahnya dunia miniatur mazlina

Setiap hobi bermula dengan minat terhadap sesuatu benda atau perkara. Meskipun begitu, mungkin sesetengah orang menganggap mengumpul mainan miniatur merupakan satu hobi kanak-kanak.

Advertisement

Namun, pandangan ini berbeza buat Mazlina Mokhtar, seorang suri rumah yang telah mengumpul mainan miniatur sejak di bangku sekolah.

Menurut Mazlina, memiliki mainan miniatur merupakan satu ekspresi dan sebahagian daripada terapi minda.

Penulis menjumpai koleksi Mazlina melalui video TikTok milik anaknya Izzati Suza yang tular di platform tersebut baru-baru ini.

Begitu sukakan mainan miniatur, ruangan rumah Mazlina dihiasi pelbagai koleksinya sekali gus menjadikan suasana rumah tampak lebih menarik.

Untuk pengetahuan pembaca, Mazlina mula mengumpul mainan miniatur sejak berusia 15 tahun dan kini dia sudah berusia 57 tahun. Sejak itu, dia memupuk minatnya untuk mengumpul apa jua barangan kecil yang dirasakan unik.

gahnya dunia miniatur mazlina

“Sesetengah orang suka mengumpul kereta mainan, setem dan sebagainya. Jadi, seperti mereka, hobi dan minat ini adalah salah satu terapi buat saya.

“Saya bermula mengumpul mainan miniatur sejak umur 15 tahun dan semua yang dikumpul sejak 42 tahun lalu masih lagi elok.

“Disebabkan ahli keluarga dan rakan-rakan saya tahu minat saya, mereka selalu memberinya sebagai hadiah juga. Dari situ koleksi saya mula membesar.

gahnya dunia miniatur mazlina

“Mungkin ramai tertanya, kenapa saya mengumpul mainan kecil ini. Sejujurnya, saya sangat menghargai kemahiran kerja dalam menghasilkannya. Bukannya mudah untuk membuat mainan miniatur ini, sebab itulah lagi kecil saiznya lagi mahal harganya.

“Saya sendiri tidak mempunyai kesabaran untuk membuatnya, tetapi saya suka menikmati setiap perincian yang ada pada mainan kecil ini.

“Setiap kali melancong ke mana-mana tempat, saya tidak akan terlepas untuk membeli magnet dan mainan miniatur. Boleh dikatakan kedai miniatur yang akan saya serbu dulu sebelum kedai lain.

gahnya dunia miniatur mazlina

“Di Bandung ada satu kedai khas yang jual mainan kecil ini dan saya sanggup menghabiskan banyak duit di situ. Cita rasa dan minat ini membuatkan saya sanggup lakukan apa sahaja untuk memiliki koleksi yang diminati,” kata Mazlina.

Koleksi yang dimiliki Mazlina kebanyakannya berkonsepkan barangan kegunaan manusia setiap hari. Terdapat bermacam bentuk mainan miniatur yang menarik dikumpulnya seperti alat muzik, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan ringan dan macam-macam lagi. 

“Saya tidak mengikut satu tema ketika membeli mainan miniatur. Ada tema lauk-pauk, cottage dan teapot. Tema unik yang saya miliki adalah koleksi lesung batu, makanan, minuman, peralatan memasak, gerai jualan dan juga set Tupperware.

“Jika ditanya, mana satu kegemaran saya, saya selalu tidak dapat menjawabnya kerana semua pun saya suka. 

“Biarpun harganya agak mahal untuk 'mainan' kecil saya berasa puas ketika membelinya,” tambahnya lagi.

Dalam video TikTok Izzati, dia berkongsi koleksi roti canai milik ibunya itu. Menurutnya, set roti yang beserta kuah, termasuk sudu dan garfu ini berharga RM100 dan sukar diperoleh.

Dalam meniti usia, Mazlina tidak bercadang untuk menghentikan hobinya sebagai pengumpul mainan miniatur, malah mewariskan minat itu kepada anak dan juga cucunya.

"Sebagai pengumpul, saya tidak melihat mainan ini sebagai sampah yang perlu dibuang, sebaliknya menjadikan ia sebagai barangan sejarah bernilai yang mungkin tidak dimiliki oleh orang lain,” mengakhiri temu ramah. - Getaran, 23 Januari 2022

gahnya dunia miniatur mazlina

gahnya dunia miniatur mazlina

Semua gambar: Izzati Suza dan Mazlina Mokhtar

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda