Foto: Threads
Seorang wanita menjadi tumpuan ramai selepas membuat permintaan khas kepada orang ramai untuk menyunting gambar dirinya bersama arwah ayahnya yang telah meninggal dunia.
Advertisement
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads, individu yang dikenali sebagai @syifardhwan berkongsi dua keping foto yang sarat dengan makna.
Foto pertama menampilkan dirinya sedang memakai jubah graduasi, manakala foto kedua memaparkan arwah bapanya yang mengenakan baju merah.
Wanita itu kemudian meminta agar kedua-dua gambar tersebut dapat digabungkan, supaya dia dapat melihat dirinya bersama arwah bapanya dalam satu bingkai.
Dalam perkongsiannya, dia menulis,
“Warga Threads, boleh tak tolong suntingkan gambar ini supaya arwah ayah saya nampak berada di sebelah saya?
“Semoga kalian yang membantu ini dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.”
Permintaan itu segera mendapat perhatian warganet, terutamanya mereka yang mahir dalam penyuntingan gambar. Ramai yang berasa tersentuh dan bersedia membantu mewujudkan gambar kenangan tersebut untuknya.
Di ruangan komen, pelbagai reaksi positif diluahkan oleh pengguna. Kebanyakan mereka mengakui tersentuh dengan permintaan wanita itu dan berharap hasil suntingan dapat memberikan kegembiraan kepadanya.
Antara komen yang ditinggalkan termasuklah,
“Saya edit gambar ini untuk awak, harap awak suka. Tahniah di atas majlis graduasi, arwah ayah awak tentu berbangga.”
Ada juga yang menekankan nilai kebaikan sesama manusia,
“Satu momen indah apabila melihat orang yang tidak kenal antara satu sama lain saling membantu.”
Kisah ini sekali lagi menekankan betapa pentingnya kenangan bersama insan tersayang, serta menunjukkan bagaimana komuniti dalam talian boleh bersatu untuk memberikan sokongan emosi yang bermakna.
Sumber: Threads