Skip to main content

Advertisement

Berita

5 Fakta Penting Israk & Mikraj yang Kita Perlu Tahu

5 fakta penting israk & mikraj yang kita perlu tahu

Foto Hiasan

Advertisement

Israk dan Mikraj bukan sekadar peristiwa tahunan yang diraikan. Ia adalah mukjizat agung, mukjizat kedua terbesar selepas Al-Quran, yang sarat dengan kasih sayang Allah kepada Rasul-Nya dan umat manusia seluruhnya.

Peristiwa luar biasa ini berlaku pada saat Nabi Muhammad S.A.W berada di fasa paling getir dalam kehidupan Baginda, namun di situlah terzahirnya keindahan hikmah Ilahi. Berikut adalah 5 fakta penting Israk & Mikraj yang perlu kita hayati bersama.

Hadiah Istimewa Buat Nabi di Tahun Kesedihan

Israk dan Mikraj berlaku ketika ‘Aam al-Huzn’ (Tahun Kesedihan), tahun di mana Nabi S.A.W kehilangan isteri tercinta Siti Khadijah RA dan bapa saudara yang melindunginya, Abu Talib. Ditambah pula dengan penolakan dan penghinaan di Taif serta tekanan hebat di Makkah.

Dalam saat paling gelap itu, Allah menjemput Nabi-Nya ‘naik ke langit’, bukan untuk menghukum, tetapi untuk memujuk, menguatkan dan memuliakan hati Baginda. Betapa dekatnya Allah dengan hamba yang sabar.

Perjalanan Buraq & Kepimpinan Para Nabi

5 fakta penting israk & mikraj yang kita perlu tahu

Foto Hiasan

Dengan izin Allah, Nabi menunggang Buraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dalam satu malam, suatu perjalanan yang mustahil bagi akal manusia, tetapi tidak dengan kuasa Allah.

Di Masjidil Aqsa, Nabi Muhammad S.A.W menjadi imam kepada seluruh nabi terdahulu. Ini bukan sekadar peristiwa, tetapi simbol kepimpinan agung Baginda sebagai penghulu para rasul dan penutup kenabian.

Kenaikan ke Tujuh Langit Penuh Ibrah

Dalam peristiwa Mikraj, Nabi Muhammad S.A.W dinaikkan ke tujuh lapisan langit, bertemu para nabi:

  • Langit 1: Nabi Adam AS
  • Langit 2: Nabi Isa & Nabi Yusuf AS
  • Langit 3: Nabi Yusuf AS
  • Langit 4: Nabi Idris AS
  • Langit 5: Nabi Harun AS
  • Langit 6: Nabi Musa AS
  • Langit 7: Nabi Ibrahim AS

Setiap pertemuan sarat dengan pengajaran tentang perjuangan, kesabaran dan ketaatan dalam menyampaikan risalah Allah.

5 fakta penting israk & mikraj yang kita perlu tahu

Foto Hiasan

Diplomasi Solat: Daripada 50 Waktu ke 5 Waktu

Pada asalnya, umat Islam diperintahkan 50 waktu solat sehari. Atas nasihat Nabi Musa AS dan keprihatinan Nabi Muhammad S.A.W terhadap umatnya, Baginda berulang kali memohon keringanan.

Akhirnya, Allah menetapkan lima waktu solat, namun pahalanya tetap seperti melakukan solat 50 waktu. Ini bukti kasih sayang Allah dan cinta Nabi kepada umatnya umpama cinta yang tidak pernah putus.

 Solat: Ibadah Paling Istimewa

Solat adalah satu-satunya ibadah yang diterima secara langsung oleh Nabi ketika di Sidratul Muntaha, tanpa perantaraan malaikat Jibril.

Ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan solat dalam kehidupan seorang Muslim. Solat bukan sekadar kewajipan tetapi ia adalah tali penghubung antara hamba dan Penciptanya.

Israk dan Mikraj mengajar kita bahawa selepas kesedihan, pasti ada kemuliaan dan selepas ujian, ada pengangkatan darjat.

Semoga perjalanan agung ini bukan hanya dikenang, tetapi memberi kita semangat untuk menghidupkan semula iman, memperbaiki solat dan mendekatkan diri kepada Allah.

 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda