Skip to main content

Advertisement

Berita

Setelah Beberapa Tahun Menunggu, Ezad Lazim Akhirnya Dapat Menunaikan Haji

setelah beberapa tahun menunggu, ezad lazim akhirnya dapat menunaikan hajiFoto: Kosmo

Penyanyi, Ezad Lazim bersyukur apabila impiannya untuk menunaikan haji akhirnya dimakbulkan selepas permohonannya kepada Tabung Haji (TH) diluluskan pada 1 Januari lalu.

Advertisement

Ezad, atau nama penuhnya Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, 46, mendedahkan bahawa setelah beberapa tahun membuat rayuan, akhirnya doanya untuk menunaikan rukun Islam kelima itu diperkenankan.

“Saya menerima keputusan ini selepas mengemukakan beberapa siri rayuan sejak bertahun-tahun lalu. Rezeki saya tiba pada Disember 2025 apabila permohonan isteri saya diluluskan.

“Ketika itu, saya hanya berdoa supaya nama saya turut tersenarai. Kini kami dapat menunaikan ibadah yang lama ditunggu bersama-sama,” katanya kepada media pada sidang media Kedah Nite 2026, semalam.

Bercerita mengenai persiapan ke Tanah Suci, vokalis Exists itu menjelaskan bahawa persiapan telah dimulakan beberapa bulan sebelum musim haji, termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang ketat.

“Kali ini, pemeriksaan kesihatan bagi bakal jemaah agak teliti. Ramai yang mendapat tawaran, tetapi disebabkan masalah kesihatan, mereka tidak dapat pergi. Doakan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Dalam sejarahnya ke Tanah Suci, Ezad memberitahu beliau sudah menunaikan umrah sebanyak empat kali sejak 2015, termasuk pernah bertugas sebagai pembantu mutawif pada awal 2020.

Bakal menunaikan haji pada usia 46 tahun, Ezad mengakui ada rasa sayu dan sedikit kebimbangan kerana beliau dan isteri, Zeana Ramli, perlu meninggalkan dua anak mereka selama kira-kira 45 hari.

Ezad juga menegaskan bahawa rancangan konsert mega beliau tahun ini terpaksa ditunda demi memberi fokus sepenuhnya kepada ibadah haji.

“Saya sudah beritahu, jika dapat menunaikan haji, saya tidak boleh buat konsert kerana tarikh pulang belum pasti. Saya memilih untuk utamakan ibadah haji terlebih dahulu,” katanya.

Sehingga kini, Ezad sudah mula menyesuaikan jadual kerjanya, terutama selepas sambutan Aidilfitri, bagi memberi tumpuan kepada persiapan mental dan fizikal sebelum berangkat ke Mekah.

Sumber: HibGlam

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda