
KUALA LUMPUR, 5 Julai - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah buat empat keluarga jemaah Haji yang meninggal dunia.
Advertisement
Empat jemaah ini ialah Salinda Musni Salehan, 56; Mohd Zaini Md Esa, 60; Radzi Taib, 72; dan Bibi @ Hasbi Bujang, 74.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga jemaah haji ini.
Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar seluruh keluarga ini bersabar dengan suasana pilu yang menimpa mereka melalui hantaran di laman Facebook Istana Negara.
"Seri Paduka berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh," menurut hantaran itu.
Jemaah haji negara akan mula berangkat pulang ke tanah air Rabu ini (5 Julai) dan penerbangan akhir dijangkakan pada 31 Julai melibatkan keseluruhan 98 penerbangan.
Sumber : BERNAMA