
Foto: Agensi
Advertisement
Detik kebebasan yang sepatutnya menjadi saat paling indah dalam hidup ratusan tahanan Palestin bertukar menjadi pilu apabila mereka kini berdepan kehidupan dalam buangan. Seramai 154 tahanan Palestin yang dibebaskan pada Isnin akan dihantar keluar dari tanah air sendiri satu ketetapan perjanjian pertukaran tahanan bersama Israel yang sekali lagi menguji ketabahan rakyat Palestin.
Menurut Pejabat Media Palestin, destinasi sebenar kumpulan ini masih belum dipastikan. Namun, sejarah menunjukkan puluhan tahanan yang dibebaskan pada Januari lalu telah dihantar ke negara seperti Tunisia, Algeria dan Türkiye untuk hidup jauh dari keluarga serta tanah kelahiran.
Walaupun disambut meriah oleh ribuan penduduk Palestin, kisah di sebalik tirai besi ini bukan mudah untuk dilupakan.

“Kami berada dalam rumah penyembelihan dan bukannya penjara. Ramai saudara kami masih di sana. Situasi di Penjara Ofer itu sangat sukar buat kami,” kata Abdallah Abu Rafe, salah seorang tahanan yang dibebaskan selepas bertahun-tahun merengkok dalam penjara Israel.
Rakannya, Yasin Abu Amra, turut menggambarkan keadaan yang amat menyayat hati.

“Segala-galanya mengerikan termasuk makanan dan penyeksaan berterusan. Kami tidak diberi makan atau minum sepanjang di penjara. Kami dipaksa berlapar,” ujarnya.
Bagi Saed Shubair, keluar dari penjara adalah saat yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Melihat matahari tanpa halangan jeriji besi adalah detik amat bermakna buat saya. Tangan saya bebas daripada gari. Kebebasan amat berharga,” katanya dengan mata berkaca.
Namun, “kebebasan” ini datang dengan harga yang tinggi terpaksa meninggalkan tanah air untuk hidup dalam buangan, jauh daripada keluarga dan sejarah hidup sendiri.
Ramai daripada mereka yang dibebaskan memerlukan rawatan segera kerana mengalami kesan tahanan jangka panjang, termasuk kecederaan dan trauma akibat penyeksaan. Tetapi keadaan hospital di Gaza yang semakin kritikal menyebabkan mereka perlu menunggu giliran untuk dipindahkan ke tempat lain bagi mendapatkan rawatan.
Di sebalik segala kepedihan, rakyat Palestin terus menunjukkan kekuatan luar biasa. Mereka menyambut setiap pembebasan dengan sorakan dan pelukan, walaupun mengetahui sebahagian daripada wira mereka akan dipisahkan semula kali ini bukan dengan jeriji besi, tetapi dengan sempadan negara.
Setiap langkah mereka meninggalkan tanah air adalah saksi betapa kebebasan Palestin masih menjadi perjuangan yang belum selesai.
“Kami bebas… tapi kami mahu bebas di tanah kami sendiri.”
Sumber: Agensi