
Foto: X (@trtworld)
Advertisement
Satu insiden luar jangkaan mencuri perhatian ramai ketika perlawanan liga amatur di Istanbul, Turkey apabila seekor burung camar tiba-tiba menjadi mangsa keadaan di tengah padang.
Dalam kejadian tersebut, penjaga gol secara tidak sengaja tertendang bola tepat mengenai burung camar yang sedang terbang rendah. Burung itu jatuh kaku di atas padang, membuatkan pemain dan penonton tergamam seketika.
Namun situasi cemas itu bertukar menjadi detik menyentuh hati apabila seorang pemain daripada salah satu pasukan berlari mendapatkan burung tersebut lalu melakukan CPR. Ya, bantuan pernafasan kecemasan seperti menyelamatkan manusia!
Aksi spontan itu ternyata membuahkan hasil. Burung camar berkenaan dilaporkan kembali sedar selepas beberapa ketika, malah sempat diberi air sebelum diserahkan kepada pihak veterinar untuk rawatan lanjut. Walaupun sayapnya cedera dan belum mampu terbang, burung itu kini dalam keadaan stabil dan sedang pulih.

Apa yang lebih menyentuh perasaan, pasukan pemain yang menyelamatkan burung tersebut tetap meraikan penyelamatan itu dengan penuh emosi walaupun mereka tewas dalam perlawanan berkenaan.
Netizen memuji tindakan pantas pemain tersebut, menyifatkannya sebagai wira sebenar di padang bukan kerana jaringan gol, tetapi kerana menyelamatkan satu nyawa kecil.
Terbuktilah bahawa bukan papan skor sahaja yang mampu membuatkan orang gembira, tetapi juga sifat kemanusiaan yang masih wujud dalam sanubari seorang manusia.
Sumber: X (@trtworld)