
Foto sekadar hiasan
Advertisement
Britain, Kanada dan Australia hari ini secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Langkah bersejarah itu dibuat susulan rasa kecewa terhadap perang berterusan di Gaza, selain usaha menghidupkan kembali penyelesaian dua negara antara Palestin dan Israel.
Keputusan tersebut dijangka menimbulkan reaksi keras Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
Dengan pengiktirafan ini, ketiga-tiga negara berkenaan kini sehaluan dengan lebih 140 negara lain yang menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk memiliki negara berdaulat di tanah yang masih diduduki Israel.
Pengiktirafan daripada Britain dianggap simbolik kerana negara itu memainkan peranan penting dalam penubuhan Israel moden selepas Perang Dunia Kedua.
“Hari ini, demi menghidupkan harapan perdamaian Palestin-Israel serta penyelesaian dua negara, United Kingdom secara rasmi mengiktiraf negara Palestin,” kata Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam satu hantaran di platform X.
Difahamkan, beberapa negara lain termasuk Perancis dijangka akan mengumumkan pendirian sama minggu ini sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Sementara itu, Menteri Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin, menyambut baik pengiktirafan berkenaan yang disifatkan sebagai langkah penting ke arah mencapai kedaulatan penuh.
“Ia mungkin tidak menghentikan perang dalam masa terdekat, tetapi ia merupakan kemajuan yang perlu diperkukuhkan dan diteruskan,” katanya.
Sumber: Astro AWANI