Skip to main content

Advertisement

Berita

Dua Peristiwa Berbeza dalam Sejarah Penurunan al-Quran, Mufti WP Perjelas Kekeliruan Nuzul dan Lailatulqadar

dua peristiwa berbeza dalam sejarah penurunan al-quran, mufti wp perjelas kekeliruan nuzul dan lailatulqadarFoto sekadar hiasan

Isu mengenai bilakah sebenarnya al-Quran diturunkan sering menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat. Ada yang meyakini ia berlaku pada malam Nuzul al-Quran, manakala sebahagian lain berpendapat penurunannya terjadi pada malam Lailatulqadar.

Advertisement

Bagi merungkai kekeliruan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan penerangan terperinci melalui ruangan soal jawab di laman sesawang rasminya.

Dalam soalan yang dikemukakan, penanya menyatakan bahawa umum mengetahui malam Nuzul al-Quran dikaitkan dengan turunnya kitab suci tersebut. Namun, terdapat juga pandangan yang menyebut ia diturunkan pada malam Lailatulqadar dan memohon penjelasan lanjut mengenai perkara berkenaan.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, kedua-dua malam itu memang berkaitan dengan peristiwa penurunan al-Quran, tetapi dalam bentuk dan peringkat yang berbeza.

Allah SWT berfirman:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada Malam Lailatulqadar.”

- Surah al-Qadr ayat 1

Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada malam Lailatulqadar. Berdasarkan tafsiran yang dinukilkan daripada Ibn Abbas, penurunan tersebut berlaku secara sekali gus daripada Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia.

Selepas itu, wahyu disampaikan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur selama kira-kira 23 tahun mengikut keadaan dan peristiwa yang berlaku.

Al-Qur'an: Lafal dan Makna dari Allah atau Nabi? – Masjid Darussalam Kota  Wisata CibuburFoto sekadar hiasan

Dalam masa sama, Allah SWT juga menyebut mengenai Ramadan sebagai bulan turunnya al-Quran menerusi firman-Nya:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk serta pembeza antara yang benar dan yang salah.”

- Surah al-Baqarah ayat 185

Ayat ini menunjukkan keistimewaan Ramadan sebagai bulan yang dimuliakan kerana menjadi waktu berlakunya peristiwa agung tersebut.

Adapun malam Nuzul al-Quran yang disambut pada 17 Ramadan pula merujuk kepada detik pertama wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’, iaitu ayat awal surah al-‘Alaq. Ia menandakan bermulanya proses penurunan wahyu secara berperingkat daripada Baitul ‘Izzah kepada Baginda.

Riwayat yang dinukilkan oleh Ibn Kathir daripada Abu Jaafar al-Baqir menyebut bahawa permulaan wahyu berlaku pada hari Isnin, bersamaan 17 Ramadan.

Justeru, dapat difahami bahawa penurunan al-Quran berlaku dalam dua tahap utama. Pertama, secara sekali gus pada malam Lailatulqadar dari Luh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah. Kedua, secara berperingkat kepada Rasulullah SAW bermula pada malam 17 Ramadan.

Kesimpulannya, kedua-dua malam tersebut mempunyai peranan tersendiri dalam sejarah penurunan al-Quran dan tidak bercanggah antara satu sama lain, sebaliknya saling melengkapi dalam menjelaskan proses turunnya kitab suci umat Islam itu.

Wallahu a‘lam.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda