Sekiranya berbelanja barangan keperluan dengan harga promosi, anda telah melakukan keputusan yang bijak. Namun, jika membeli barang kehendak, anda sebenarnya membelanjakan wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan sama ada untuk barang keperluan atau untuk simpanan.
Oleh itu, walaupun barang kehendak dibeli dengan harga promosi, ia masih bukan keputusan pembelian yang bijak.
Advertisement
Angkat tangan anda jika anda pernah membeli sesuatu hanya kerana ia dijual dengan harga promosi dan bukan kerana memerlukannya. Tidak semua barang yang dibeli dengan harga diskaun berbaloi, bukan?

Malah pasti ada beberapa item yang dibeli akhirnya tidak digunakan dan disimpan di dalam stor sahaja.
Adakah item tersebut akan digunakan dengan kerap?
Jika item yang anda sering gunakan dan barangan kehendak mempunyai promosi, ia mungkin akan menjimatkan wang. Contohnya, membeli dan menyimpan stok produk penjagaan kulit yang dijual dengan harga promosi. Kaedah ini hanya sesuai digunakan untuk membeli barangan yang tahan lama dan tidak mudah rosak.
Tawaran seperti beli satu percuma satu adalah bagus apabila anda tahu kegunaan produk itu dan akan menggunakannya. Tetapi jika ia adalah item yang tidak pernah digunakan sebelum ini atau tidak merancang untuk menggunakannya dengan kerap, lebih baik jika tidak meneruskan pembelian kerana ia tidak berkepentingan.
Sudahkah anda membuat perbandingan dengan kedai yang lain?
Bagi mendapatkan tawaran yang betul-betul terbaik dan berbaloi, pastikan anda membuat perbandingan harga di kedai atau penjual berlainan. Perbandingan boleh dilakukan secara dalam talian sekiranya pasar raya atau penjual mempunyai perniagaan dalam talian.
Jadi, belilah barangan yang hanya merupakan keperluan sahaja.