Skip to main content

Advertisement

Berita

Gaza Masih Dalam Krisis, 480 Lori Bantuan Tidak Mampu Menampung Derita

gaza masih dalam krisis, 480 lori bantuan tidak mampu menampung derita

Foto: REUTERS

Advertisement

Pihak berkuasa tempatan di Gaza mengesahkan sebanyak 480 lori bantuan telah berjaya memasuki wilayah terkepung itu semalam di bawah pelan gencatan senjata bersama Israel, lapor Anadolu Agency (AA).

Dalam kenyataan rasmi, Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan bahawa sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, sebanyak 653 lori bantuan telah dibenarkan masuk termasuk bekalan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan gas memasak yang amat diperlukan oleh penduduk.

Perjanjian gencatan senjata ini merupakan fasa pertama pelan damai yang dicadangkan oleh Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat, bagi menamatkan konflik dua tahun Israel di wilayah Palestin.

Menurut perjanjian itu, 600 lori bantuan kemanusiaan sepatutnya dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari, termasuk lori membawa bahan api dan gas memasak jumlah minimum yang diperlukan untuk menyokong kehidupan asas di wilayah tersebut.

Meskipun pelan bantuan tersebut telah dipersetujui, penghantaran sebenar masih jauh daripada mencukupi.

Pada Ahad lalu, Israel hanya membenarkan 173 lori bantuan memasuki Gaza termasuk tiga lori membawa gas memasak dan enam lori membawa bahan api. Namun, tiada penghantaran bantuan dibenarkan pada Isnin dan Selasa, menurut Ismail al-Thawabta, Pengarah Pejabat Media Gaza.

“Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 600 lori bantuan setiap hari untuk memastikan bekalan bahan api, gas memasak, bantuan kemanusiaan dan perubatan dapat disalurkan secara berterusan,” jelas kenyataan itu.

gaza masih dalam krisis, 480 lori bantuan tidak mampu menampung derita

Foto: REUTERS

Dalam usaha menangani krisis kemanusiaan ini, agensi kerajaan Gaza terus bekerjasama dengan pertubuhan bantuan dan kemanusiaan antarabangsa bagi menyelaras kemasukan dan pengagihan bantuan dengan lebih teratur.

Matlamat utama adalah untuk memastikan bantuan yang masuk diagihkan secara adil dan sampai ke seluruh lapisan penduduk Palestin, terutama mereka yang terperangkap di kawasan yang paling terjejas.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan hampir 68,000 rakyat Palestin, majoritinya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan sebahagian besar wilayah Gaza musnah teruk dan hampir tidak lagi dapat didiami.

Sumber: BERNAMA-Anadolu 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda