![[video] banjir kilat landa mekah, hujan lebat menyebabkan kota suci digenangi air](https://assets.astroaudio.com.my/brands_syok/media/Article/2025/Nov/13/untitled-design-64.png)
Foto: Al Jazeera
Advertisement
Kota suci Mekah, Arab Saudi, dilanda banjir besar selepas hujan lebat turun secara berterusan, menyebabkan beberapa jalan utama, kawasan perumahan dan laluan menuju Masjidil Haram digenangi air. Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan arus deras mengalir di jalan-jalan Mekah, sementara kenderaan dilihat sukar bergerak akibat paras air yang meningkat mendadak.
Menurut laporan media tempatan, hujan lebat yang bermula sejak pagi telah menjejaskan aktiviti harian penduduk serta pergerakan jemaah umrah yang berada di sekitar Masjidil Haram. Pihak Pertahanan Awam Arab Saudi (Civil Defense) segera dikerahkan bagi menyelamatkan individu yang terperangkap serta membantu mengalihkan kenderaan yang ditenggelami air.
Video footage shows major flooding in Mecca, Saudi Arabia, due to heavy rainfall. pic.twitter.com/GZmXYFvXuh
— Al Jazeera English (@AJEnglish) November 12, 2025
Fenomena ini dianggap luar biasa memandangkan Mekah jarang menerima hujan lebat dalam tempoh panjang. Namun, bagi umat Islam, segala kejadian alam adalah ujian dan tanda kekuasaan Allah SWT.
Dalam Al-Quran, Allah berfirman:
“Dan Kami turunkan dari langit air (hujan) yang diberkati, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-biji tanaman yang dituai.”
(Surah Qaf, ayat 9)
Walaupun hujan boleh membawa bencana, ia juga adalah rahmat yang mendatangkan kesuburan dan kehidupan.
Pihak berkuasa Saudi mengeluarkan amaran cuaca dan menasihatkan penduduk supaya berada di rumah serta mengelak kawasan rendah yang berisiko dilanda banjir kilat. Operasi pembersihan dan penyelenggaraan sistem saliran sedang dijalankan bagi memastikan air surut dengan lebih cepat.
Sementara itu, Masjidil Haram dilaporkan kekal beroperasi, dengan pasukan khas bekerja keras memastikan kawasan tawaf dan sa’i selamat untuk jemaah.
Sumber: Al Jazeera