
Foto Hiasan
Advertisement
Setiap tahun, jutaan jemaah dari seluruh dunia membanjiri kawasan Masjid al-Haram untuk menunaikan ibadah haji dan umrah. Antara perkara yang sering mencuri perhatian ialah lantai tempat tawaf di sekeliling Kaabah yang kekal sejuk walaupun suhu di Mekah boleh mencecah lebih 45°C!
Persoalannya, macam mana lantai tersebut bertahan sejuk sedangkan matahari hangat membakar?
Rupa-rupanya, lantai tawaf diperbuat daripada marmar putih khas yang diimport dari Pulau Thassos, Greece. Marmar premium ini terkenal kerana keupayaannya memantulkan cahaya matahari dan tidak menyerap haba dengan mudah. Disebabkan itu walaupun jemaah berjalan berkaki ayam, permukaannya masih selesa dipijak.

Bukan setakat marmar semata-mata. Di bawahnya terdapat lapisan penebat khas yang berfungsi menghalang haba daripada tanah naik ke permukaan. Kiranya macam teknologi rumah moden tetapi versi mega untuk jutaan manusia!
Lapisan konkrit tebal pula dibina untuk menampung berat luar biasa setiap hari. Bayangkan, bukan ratus atau ribu tetapi jutaan orang berpusing tanpa henti di lokasi sama.
Lebih mengejutkan, terdapat paip penyejukan dan sistem udara di bahagian tertentu bawah lantai bagi mengawal suhu. Gabungan kejuruteraan moden dan bahan semula jadi inilah yang memastikan kawasan tawaf kekal nyaman walaupun cuaca ekstrem.
Bila difikirkan, ia bukan sekadar teknologi canggih, tetapi juga satu nikmat besar yang memudahkan ibadah umat Islam daripada seluruh dunia. Tak hairanlah ramai yang kagum setiap kali menjejakkan kaki ke sana.