Skip to main content

Advertisement

Berita

“Kompor Saya Hanyut Pak…” - Ayah Berlari Merayu Dapur Gas Demi Anak Undang Air Mata

“kompor saya hanyut pak…” - ayah berlari merayu dapur gas demi anak undang air mataFoto: Tangkap layar Facebook

Situasi pascabanjir yang melanda beberapa wilayah di Sumatera dan Aceh, Indonesia baru-baru ini terus meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk terjejas.

Advertisement

Walaupun sebahagian besar mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, realitinya banyak rumah dan harta benda musnah teruk akibat ditenggelami lumpur serta arus deras.

Ada kawasan yang masih bergelap pada waktu malam berikutan kerosakan infrastruktur, malah terdapat kediaman yang hanya kelihatan bahagian bumbung selepas ditimbus lumpur. Keadaan ini jelas menggambarkan betapa berat beban yang terpaksa ditanggung penduduk selepas bencana.

Susulan itu, pelbagai badan kebajikan dan aktivis kemanusiaan turun padang bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. Antara yang terlibat ialah Imam Muda Asyraf yang menyertai misi kemanusiaan dengan menyantuni penduduk serta mengagihkan bantuan keperluan asas.

Menerusi satu klip yang dikongsikan di laman Facebook miliknya, Asyraf memaparkan suasana ketika beliau mengagihkan bantuan termasuk peralatan rumah seperti dapur gas. Dalam perkongsian itu, beliau menceritakan detik tidak disangka apabila seorang lelaki tiba-tiba berlari mendapatkan bantuan.

“Terkejut kami tiba-tiba diserang,” katanya, merujuk kepada kelibat lelaki tersebut yang datang dengan tergesa-gesa.

 

 

Apa yang diluahkan oleh lelaki berkenaan ternyata meruntun perasaan.

“Pak, saya minta kompornya pak. Kompor saya hanyut pak,” ujar lelaki itu dengan nada penuh harapan.

Tanpa berlengah, Asyraf terus menyerahkan dapur gas tersebut kepadanya. Sebaik menerima bantuan, lelaki berkenaan dilihat tidak mampu menahan sebak, mengesat air mata menggunakan tuala kecil yang disangkut di bahunya sebelum memeluk Asyraf sebagai tanda terima kasih.

“Dari jauh bapak ini berlari, terus menerpa. Segala perkakas rumahnya hanyut. Namun demi anak dan keluarga, beliau merintih berjuang menagih dan merayu. Air mata yang gugur itu mengajar kita erti pengorbanan seorang ayah,” tulis Asyraf.

Rakaman berkenaan turut mengundang reaksi emosional dalam kalangan netizen. Ramai mengakui tidak dapat menahan sebak melihat keikhlasan dan kesusahan yang ditanggung mangsa banjir di sana, selain memuji usaha murni yang dilakukan dalam misi kemanusiaan tersebut.

“Ya Allah, tak nak nangis tapi tiba-tiba basah pipi,” tulis seorang pengguna.

“Allahuakbar, saya tahan tak mahu menangis, tapi bila tengok pakcik ini terus mengalir air mata. Ya Allah, berilah kekuatan kepada warga Aceh dan permudahkan urusan mereka,” luah seorang lagi.

Perkongsian itu sekali lagi menjadi peringatan tentang penderitaan sebenar mangsa bencana, serta pengorbanan seorang ayah yang sanggup merendahkan diri demi kelangsungan hidup keluarga tercinta.

Sumber: Facebook Imam Muda Asyraf

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda