Foto: Agensi
Keganasan berterusan di Semenanjung Gaza terus meragut nyawa apabila jumlah rakyat Palestin yang terkorban kini dilaporkan meningkat kepada 71,851 orang, manakala seramai 171,626 lagi mengalami kecederaan sejak konflik bermula pada Oktober 2023.
Advertisement
Maklumat terkini daripada sumber kesihatan Palestin yang disalurkan melalui Agensi Berita dan Maklumat Palestin, WAFA menyatakan bahawa dalam tempoh sehari, sekurang-kurangnya 27 individu maut manakala 18 yang lain cedera akibat serangan terbaharu.
Laporan itu turut memaklumkan bahawa usaha menyelamat masih terhalang apabila sejumlah mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan di kawasan terbuka. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kemusnahan infrastruktur serta kekurangan peralatan, menyebabkan pasukan kecemasan gagal mengakses lokasi tertentu.
Menurut kenyataan sama, walaupun gencatan senjata mula dikuatkuasakan pada 11 Oktober 2025, angka korban masih terus bertambah. Setakat ini, 574 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam tempoh berkenaan, dengan 1,518 kecederaan dicatatkan serta 717 mayat berjaya dikeluarkan.
Dalam laporan berasingan, WAFA memetik Persatuan Tahanan Palestin yang menyatakan bahawa sehingga awal Februari 2026, lebih 9,300 rakyat Palestin masih berada dalam tahanan Israel.
Daripada jumlah tersebut, 56 adalah wanita termasuk dua individu bawah umur, manakala kira-kira 350 kanak-kanak dilaporkan ditahan di penjara Megiddo dan Ofer.
Persatuan itu turut menjelaskan bahawa seramai 3,358 tahanan kini berada di bawah kategori tahanan pentadbiran, iaitu individu yang ditahan tanpa pendakwaan atau proses perbicaraan, menjadikan kumpulan ini paling besar berbanding banduan yang telah dijatuhi hukuman, tahanan reman serta mereka yang diklasifikasikan sebagai pejuang tidak sah.
Selain itu, sebanyak 1,249 individu disenaraikan di bawah kategori pejuang tidak sah menurut klasifikasi pihak berkuasa Israel.
Bagaimanapun, angka tersebut tidak mengambil kira semua penduduk Gaza yang ditahan di kem tentera Israel di bawah kategori sama, selain turut melibatkan warga Arab dari Lubnan dan Syria yang berada dalam tahanan.
Sumber: HarakahDaily