
Di tengah suasana kem yang serba kekurangan, sekumpulan paracyclists tampil dengan satu misi luar biasa iaitu membawa pengalaman pawagam bergerak ke kem-kem di Gaza, khas untuk kanak-kanak yang sudah terlalu lama hidup dalam bayang-bayang konflik.
Advertisement
“Kami bergerak dari satu kem ke satu kem untuk menyebarkan detik kegembiraan,” kata wakil kumpulan tersebut.
Dan kali ini, filem pilihan mereka cukup istimewa iaitu Ratatouille.
Tanpa bangunan besar, tanpa kerusi empuk, tanpa skrin gergasi. Hanya projektor mudah alih, kain putih sebagai layar dan semangat yang tidak pernah padam.
Sebelum tayangan bermula, kanak-kanak di kem diberi peluang membuat sendiri bekas popcorn mereka. Dengan penuh teruja, tangan-tangan kecil itu menghias cawan kertas masing-masing satu aktiviti ringkas, namun cukup bermakna.
Kemudian, popcorn masin diagihkan. Bau jagung panas memenuhi ruang. Untuk seketika, bunyi letupan kecil popcorn dan gelak tawa kanak-kanak mengatasi bunyi dunia luar yang keras.
“Adakah anda masih ingat kali pertama menonton Ratatouille?”
Filem tentang seekor tikus yang bercita-cita menjadi chef itu mungkin biasa bagi ramai, tetapi bagi kanak-kanak di kem Gaza, pengalaman itu terasa seperti membuka jendela ke dunia lain dan dunia itu penuh warna, impian dan harapan.
Saat lampu dipadam dan tayangan bermula, wajah-wajah kecil itu bersinar. Ada yang ketawa kuat, ada yang terpaku penuh fokus. Dalam tempoh hampir dua jam, mereka bukan lagi anak-anak pelarian. Mereka hanya kanak-kanak yang menikmati cerita, berkongsi popcorn dan merasa normal semula.
Kumpulan paracyclists ini menggunakan basikal sebagai simbol pergerakan dan kebebasan. Dengan peralatan pawagam mudah alih yang dibawa bersama, mereka menjelajah dari satu lokasi ke lokasi lain.

Misi mereka mudah tetapi mendalam iaitu untuk memberi ruang untuk kanak-kanak merasa gembira, walau hanya untuk satu malam.
Di tengah kemusnahan, mereka memilih untuk menyebarkan cahaya.
Ini bukan sekadar tayangan filem.
Ini tentang mengembalikan sedikit rasa zaman kanak-kanak yang mungkin terpaksa matang terlalu awal.
Popcorn mungkin sederhana. Skrin mungkin kecil tetapi impaknya besar, kerana dalam dunia yang sering dirampas daripada mereka, sekumpulan insan memilih untuk memulangkan semula sesuatu yang sangat asas iaitu kegembiraan.
Video: X (@gazasunbirds)