Foto: Tangkapan skrin video
Satu detik menyentuh hati telah meraih perhatian ramai apabila dua orang kanak-kanak perempuan dilihat menolak kerusi roda yang dinaiki oleh bapa mereka di bawah terik matahari dan melalui kawasan berbukit. Aksi penuh kasih sayang dan ketabahan itu mencetuskan rasa sebak serta kekaguman dalam kalangan netizen.
Advertisement
Rakaman video kejadian tersebut dimuat naik oleh seorang pempengaruh media sosial, Fatin Nabila Ahmad Zainuddin menerusi akaun TikTok miliknya. Dalam video tersebut, kelihatan dua beradik perempuan dengan penuh usaha menolak kerusi roda ayah mereka yang kelihatan kurang upaya, dipercayai ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Menurut Fatin Nabila, beliau secara kebetulan melalui kawasan berkenaan dan telah menawarkan bantuan kepada keluarga itu untuk menaiki keretanya. Namun begitu, pelawaan tersebut ditolak dengan sopan oleh dua beradik tersebut, menunjukkan sikap berdikari dan semangat tanggungjawab yang tinggi biarpun pada usia muda.
@fatinnnabila1 Allah pilih mereka utk jadi hamba yang kuat mental & physical. Respect. #fyp ♬ Belum Siap Kehilangan - Cover - Rafsyan Akbar
“Allah memilih mereka untuk menjadi insan yang kuat dari segi mental dan fizikal. Saya amat menghormati mereka,” tulis Fatin di ruangan kapsyen videonya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial melahirkan rasa kagum serta terharu terhadap pengorbanan dua beradik itu yang menjaga bapa mereka dengan penuh dedikasi meskipun masih kecil.
Seorang pengguna bernama Mat mendoakan, “Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan hidup mereka.”
Manakala seorang lagi netizen, Jannah Rejab, turut memuji cara didikan ibu bapa mereka.
“Hebat didikan mak dan ayah mereka. Anak-anak ini sangat luar biasa. Meskipun kecil, mereka memahami tanggungjawab sebagai anak dan menjaga ayah mereka dengan penuh kasih sayang,” kata salah seorang netizen.
Tidak ketinggalan juga pengguna lain yang turut mendoakan masa depan yang baik buat mereka.
“Semoga anak-anak ini membesar menjadi insan solehah dan menerima rezeki yang berlipat ganda,” kata Justliaa.
Peristiwa ini jelas mencerminkan nilai kasih sayang, tanggungjawab serta kekuatan ikatan keluarga yang wajar dijadikan contoh dalam masyarakat hari ini.
Sumber: TikTok