
Utamakan makan masakan air tangan ibu jadi resepi kejayaan seorang penuntut Maahad Tahfiz Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) hafaz 30 juzuk ayat suci al-Quran hanya dalam tempoh dua tahun setengah.
Advertisement
Di balik kejayaan dikecapi Muhammad Ubaidillah Ab Aziz, 24, bukan usaha sehari dua, sebaliknya perjalanan itu sudah disiapkan dengan acuan sejak dari kecil.
Ibunya, Fatimah Dollah, 55, adalah insan terpenting dalam merencana hala tuju anak kembar daripada 10 beradik itu.
Katanya, dia sangat menitikberatkan soal makan dan minuman anak-anaknya serta mereka hanya makan masakan yang dimasak olehnya sahaja.
"Saya jaga makan mereka, elakkan seboleh yang mungkin makan makanan dari sumber yang tidak pasti, mahupun yang mengandungi unsur subha sekali pun, saya elakkan.
"Amalan makan di rumah ini memang dibuat sejak saya mula mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak serta masih diteruskan hingga sekarang" katanya.
Menurutnya, tugas sebagai suri rumah banyak dibantu oleh suami tercinta, Ab Aziz Khadirpillai, 60, yang turut sama meringankan beban dengan menyediakan atau membeli bekalan barangan mentah untuk dimasak serta makan bersama-sama satu keluarga.
"Cuma sekarang ada tinggal di asrama kerana sambung belajar, itu tiada pilihan, tetapi apabila pulang bercuti mereka masih lagi dengan amalan yang sudah dibiasakan dan tiada akan yang makan di luar atau minta untuk makan di kedai," katanya.
Selainya, Fatimah berkata, dia dan suami juga sangat menekankan didikan anak-anak mengikut cara Rasulullah SAW dengan sentiasa membaca al-Quran serta menjaga solat lima waktu dalam kalangan anak-anaknya.
"Setiap pagi, selepas subuh sebelum ke sekolah, setiap anak kami, walaupun yang masih kecil seawal usia 5 tahun, mereka perlu baca al-Quran. Sikit pun tak apa, asalkan baca. Baca yang mana sempat sebelum mereka ke sekolah.
"Bapa mereka garang dan tegas menyebabkan tiada yang bantah cara tu setakat ini, semua ikut dan hasilnya Alhamdulillah, mereka sentiasa akan dekat dengan al-Quran," katanya.
Sumber - Sinar online