Foto: Threads
Pelakon dan pendakwah selebriti, Adam Corrie sekali lagi menunjukkan contoh keteladanan apabila tetap berada di sisi mendiang ibunya sehingga ke saat terakhir, meskipun mereka berdua berbeza pegangan agama.
Advertisement
Menurut Adam, tiada apa yang mampu menghalang kasih seorang anak terhadap ibu termasukanlah perbezaan status, jauhnya jarak, dan perbezaan kepercayaan.
Baginya, tanggungjawab menjaga ibu adalah amanah yang tidak boleh diketepikan.
“Apa pun agama seseorang itu, dia tetap ibu saya. Kewajipan saya ialah menghormati dan menjaganya selagi diberi peluang,” tulisnya menerusi Threads.
Adam berkongsi bahawa sepanjang tempoh akhir hayat mendiang ibunya, beliau memastikan dirinya sentiasa hadir, membantu sehabis mampu dan memberi sokongan moral kepada ahli keluarga lain. Baginya, hubungan kekeluargaan sentiasa lebih besar daripada perbezaan.
“Saya hanya mahu berada dekat dengannya. Itu saja yang penting buat saya ketika itu,” ujarnya lagi, menggambarkan betapa besar kasihnya terhadap insan yang membesarkannya.
Dalam pada itu, Adam menegaskan bahawa Islam tidak melarang seseorang berbuat baik kepada ibu bapa walaupun mereka bukan Muslim. Malah, berbuat baik kepada ibu bapa adalah tuntutan agama.
Pelakon itu turut berharap kisahnya dapat menjadi peringatan kepada masyarakat agar tidak memutuskan hubungan hanya kerana perbezaan agama. Katanya, kasih sayang seorang anak seharusnya mengatasi perbezaan kepercayaan.
“Selagi ibu bapa masih ada, berbaktilah. Jangan tunggu masa berlalu sebelum kita sedar apa yang kita dah terlepas,” pesan Adam penuh makna.
Kisah Adam ini menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat yang rata-rata memuji sikap hormat dan nilai kekeluargaan yang ditunjukkannya.
Ia sekaligus menjadi contoh bahawa keharmonian dalam keluarga masih mampu dikekalkan walaupun wujud perbezaan pada aspek kepercayaan.
Sumber: Threads