1 Syawal menandakan hari kemenangan selepas 30 hari berpuasa. Dalam kegembiraan menyambut aidilfitri, jangan sesekali lupa untuk menjaga adab.
Antara adab yang perlu anda jaga:
Advertisement
• Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata: “Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”
• Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya, sunat datang akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
• Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.
• Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ
Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.”
Riwayat al-Bukhari (943)
• Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu), lalu Baginda menjawab: Ya, تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ (semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).
• Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
أَنَّ النَّبِىَّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا
Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”
Riwayat al-Bukhari (945)
Sumber: Facebook Mufti Wilayah Persekutuan
Kredit Gambar: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Di Suva