Skip to main content

Advertisement

Berita

Hutang Lepas Kahwin? 45% Pasangan Malaysia ‘Terkubur’ Dalam Bayaran Majlis Sendiri

hutang lepas kahwin? 45% pasangan malaysia ‘terkubur’ dalam bayaran majlis sendiri

Foto sekadar hiasan

Advertisement

Majlis kahwin sepatutnya hari paling bahagia tetapi bagi ramai pasangan Malaysia, ia menjadi titik mula beban hutang yang panjang.

Kajian oleh Future Studies Berhad (THE FUTURE) mendapati hampir 46 peratus pasangan di Malaysia terpaksa berhutang untuk membiayai majlis perkahwinan mereka. Kebanyakan mengaku membelanjakan antara RM20,000 hingga RM40,000 semata-mata demi sebuah hari yang dianggap sempurna.

Menurut Ketua Ekonomi THE FUTURE, Dr Mohd Yusof Saari, majoriti memilih pinjaman peribadi sebanyak 58.8 peratus untuk menampung kos, diikuti kad kredit dan skim beli sekarang bayar kemudian sebanyak 16.6 peratus.

Lebih separuh daripada mereka berdepan tempoh bayaran balik melebihi lima tahun yang bermakna ramai masih membayar hutang walaupun anak sudah masuk tadika, katanya.

Kajian turut mendapati lebih separuh responden memperuntukkan antara 10 hingga 20 peratus pendapatan bulanan untuk membayar hutang majlis kahwin. Malah, 27.3 peratus sudah mula tertunggak, menunjukkan tekanan kewangan yang kian menjerat pasangan muda.

Isu ini tidak terhenti di situ. Di Selangor sahaja, lebih 10,000 kes perceraian pasangan Islam direkodkan antara Januari hingga September tahun ini, dan antara puncanya ialah masalah kewangan.

Profesor Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad, pula mendedahkan bahawa kos majlis kahwin kini melonjak antara RM50,000 hingga RM200,000 disebabkan inflasi, sewa dewan, katering serta tekanan sosial untuk tampak gah.

Ramai pasangan akhirnya berhutang bukan sebab ingin berkahwin tetapi kerana mahu kelihatan cantik di mata orang, katanya.

Realitinya, ramai kini mula sedar bahawa selepas bunga tangan dan pelamin hilang, yang tinggal hanyalah ansuran bulanan. Hari bahagia hanya sehari tetapi hutangnya boleh bertahun.

Sumber: Berita Harian

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda