Skip to main content

Advertisement

Berita

411 Penduduk Terbunuh, Lebih 1,100 Cedera Sejak Gencatan Senjata Dikuatkuasakan di Gaza

Ribuan penduduk Gaza kembali | Utusan Borneo OnlineFoto: Astro AWANI

Sekurang-kurangnya 411 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh, manakala lebih 1,100 lagi mengalami kecederaan susulan serangan berterusan oleh tentera Israel walaupun perjanjian gencatan senjata telah dikuatkuasakan sejak Oktober lalu.

Advertisement

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, serangan itu menunjukkan bahawa gencatan senjata yang sepatutnya menghentikan keganasan gagal dilaksanakan sepenuhnya di lapangan. Sepanjang tempoh tersebut, ratusan pelanggaran dilaporkan termasuk serangan ke atas kawasan awam, tembakan langsung serta pencerobohan ke zon kediaman.

Dalam kenyataan sama, pihak berkuasa Gaza turut mendakwa bahawa komitmen kemanusiaan di bawah perjanjian itu tidak dipatuhi, dengan kemasukan bantuan ke wilayah tersebut jauh lebih rendah daripada jumlah yang dipersetujui. Kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api terus menekan kehidupan harian penduduk.

Situasi itu memberi kesan besar terhadap operasi hospital, sistem bekalan air, loji kumbahan dan kemudahan asas lain yang kini berdepan gangguan serius. Keadaan bertambah buruk apabila ribut musim sejuk menyebabkan runtuhan bangunan rosak, sekali gus mengakibatkan korban tambahan.

Pejabat Media Kerajaan Gaza menyifatkan keadaan semasa sebagai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, sambil menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan segera bagi memastikan gencatan senjata dipatuhi dan laluan bantuan dibuka tanpa sekatan.

Walaupun perjanjian gencatan senjata diumumkan sebagai langkah meredakan konflik, situasi di Gaza kekal rapuh dengan penduduk awam terus menjadi mangsa keganasan dan kekurangan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan.

Sumber: Bernama

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda