Foto sekadar hiasan
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa neraka diharamkan menyentuh empat golongan manusia yang memiliki sifat terpuji.
Advertisement
Sabda Baginda yang bermaksud,
“Mahukah aku khabarkan kepada kalian tentang orang yang diharamkan oleh neraka untuk menyentuhnya? Iaitu setiap orang yang dekat, tenang, lemah lembut dan mudah berurusan.”
Hadis ini turut diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan Ibn Hibban serta dinilai sebagai hasan sahih.
— coffeemix. (@punaidaon) October 13, 2025
Empat sifat yang disebut dalam hadis itu bukan sekadar ajaran akhlak, tetapi menjadi tanda keimanan yang tinggi dan cerminan keperibadian Rasulullah SAW sendiri.
- Hayyin
Sifat pertama ialah hayyin, iaitu seseorang yang tenang dan tidak gopoh dalam tindakannya. Golongan ini sentiasa berfikir sebelum bertindak, tidak mudah marah dan membawa ketenangan kepada orang di sekelilingnya.
- Layyin
Sifat kedua ialah layyin, yang bermaksud lemah lembut dalam tutur kata dan perbuatan. Orang yang memiliki sifat ini tidak kasar ketika menegur dan mudah memaafkan kesalahan orang lain.
- Qarib
Sifat ketiga ialah qarib, iaitu individu yang mudah didekati dan disenangi. Mereka tidak sombong, tidak menjauhkan diri daripada masyarakat dan sentiasa bersikap mesra terhadap sesiapa sahaja.
- Sahl
Sifat terakhir ialah sahl, iaitu mereka yang memudahkan urusan orang lain. Golongan ini tidak suka menyusahkan atau memperbesarkan hal kecil, sebaliknya mencari jalan untuk mendamaikan dan membantu.
Keempat-empat sifat ini menggambarkan keseimbangan antara kelembutan hati dan kekuatan jiwa. Seseorang yang memiliki sifat ini bukan sahaja disayangi manusia, tetapi juga mendapat jaminan keselamatan daripada azab neraka sebagaimana dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
Dalam dunia hari ini yang sering dipenuhi dengan kemarahan dan pertelingkahan, amalan empat sifat ini menjadi kunci kepada kedamaian dan kesejahteraan sosial. Ia bukan sekadar panduan rohani, tetapi asas kepada akhlak seorang mukmin yang benar-benar memahami erti kasih, sabar dan rahmah.
Sumber: X