
Gambar: Tangkap Layar Threads
Ramai yang ingat tugas pramugari sekadar melayan penumpang, tetapi hakikatnya mereka juga memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan penerbangan, termasuk masuk ke dalam kokpit!
Advertisement
Perkongsian bekas pramugara yang juga seorang penyanyi, Zarul Umbrella di Threads mengenai juruterbang menarik perhatian ramai. Menurut Zarul, juruterbang tidak boleh ditinggalkan bersendirian di ruangan kokpit ketika penerbangan. Persoalannya, kenapa juruterbang tak boleh dibiarkan bersendirian walaupun sekejap?
Jika salah seorang keluar, contohnya ke tandas, seorang kru kabin (cabin crew) akan dipanggil masuk untuk menemani juruterbang yang tinggal. Rupa-rupanya, peraturan ini bukan suka-suka dibuat, tetapi berpunca daripada satu tragedi hitam yang menggemparkan dunia.
Kes yang dimaksudkan ialah tragedi Germanwings Flight 9525 sekitar tahun 2014/2015.

Gambar: Deutsche Welle
Ketika itu, pesawat tersebut dikendalikan oleh dua juruterbang. Namun, situasi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila salah seorang kapten keluar daripada kokpit, meninggalkan pembantu juruterbang bersendirian. Apa yang berlaku selepas itu memang mengejutkan. Pembantu juruterbang tersebut didakwa mengunci pintu kokpit daripada dalam, menyebabkan kapten tidak dapat masuk semula walaupun percubaan dilakukan berkali-kali. Lebih menyayat hati, pesawat itu kemudian sengaja merempuh kawasan pergunungan hingga mengorbankan semua penumpang dan anak kapal yang berada di dalamnya. Hasil siasatan mendapati juruterbang tersebut mengalami masalah kesihatan mental.
Sejak insiden tragis itu, industri penerbangan global terus mengetatkan prosedur keselamatan. Antara langkah utama yang diperkenalkan ialah memastikan sekurang-kurangnya dua individu berada dalam kokpit pada setiap masa. Jika seorang juruterbang perlu keluar, kru kabin akan menggantikan sementara bagi memastikan tiada situasi berisiko berlaku.
Jadi, lain kali kalau nampak pramugari masuk ke kokpit, jangan terkejut kerana itu bukan perkara pelik, tetapi satu langkah keselamatan yang lahir daripada tragedi hitam yang menjadi pengajaran pahit dunia penerbangan.
Sumber: WorldAtlas