
Foto sekadar hiasan
Satu kajian terbaharu menunjukkan pendedahan berpanjangan kepada skrin digital dalam kalangan kanak-kanak kecil boleh memberi kesan terhadap perkembangan mereka, khususnya dari segi komunikasi sosial yang sering dikaitkan dengan ciri-ciri autisme.
Advertisement
Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Autism and Developmental Disorders pada Oktober 2025 itu melibatkan seramai 5,336 kanak-kanak berusia antara 17 hingga 24 bulan. Hasil dapatan menunjukkan purata masa skrin harian melebihi satu jam, malah meningkat ketika hujung minggu.
Keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana melepasi garis panduan kesihatan yang menyarankan kanak-kanak bawah 18 bulan tidak didedahkan kepada skrin, manakala bagi usia sehingga enam tahun, penggunaannya perlu dihadkan kurang daripada satu jam sehari.

Foto sekadar hiasan
Perubahan Tingkah Laku Mula Dikesan
Dalam kajian berkenaan, ibu bapa dilaporkan mula menyedari beberapa perubahan pada tingkah laku anak-anak mereka. Antara yang sering diperhatikan termasuk kurang memberi respon apabila nama dipanggil, tidak menunjukkan minat terhadap permainan serta tidak menunjuk kepada objek di sekeliling.
Walaupun tanda-tanda ini boleh menjadi petunjuk awal, pakar mengingatkan bahawa ia bukan diagnosis muktamad dan perlu disahkan oleh pakar perubatan.

Foto sekadar hiasan
Gangguan Perkembangan Bahasa
Ketua penyelidik, Penolong Profesor Adjung Aishworiya Ramkumar menjelaskan bahawa penggunaan skrin pada usia terlalu muda boleh mengganggu perkembangan bahasa kanak-kanak.
“Semakin muda usia kanak-kanak, semakin besar impaknya. Masa yang sepatutnya digunakan untuk interaksi dua hala dengan penjaga telah digantikan dengan skrin, sekali gus menyekat pembinaan kemahiran komunikasi asas,” katanya.

Foto sekadar hiasan
Fenomena ‘Autisme Maya’ Beri Harapan
Kajian itu turut mengetengahkan konsep yang dikenali sebagai autisme maya, di mana kanak-kanak mempamerkan ciri menyerupai autisme akibat pendedahan skrin berlebihan.
Namun begitu, keadaan ini tidak semestinya kekal. Kajian mendapati gejala tersebut boleh berkurang dengan ketara apabila penggunaan skrin dihadkan atau dihentikan sepenuhnya.
Perkara sama turut diperhatikan oleh pakar dari Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK, Dr. Christelle Tan, yang mendapati simptom seperti kurang kontak mata dan tantrum semakin berkurangan selepas amalan “diet digital” dilaksanakan.
Sumber: News Straits Times