Skip to main content

Advertisement

Technology & Innovation

ZAYAN Santuni Jemaah di Masjid Putra, Hidupkan Amalan Puasa Enam Syawal

Dalam semangat Syawal yang masih menyuburkan nilai keimanan dan kebersamaan, ZAYAN terus memainkan peranannya sebagai medium dakwah kontemporari menerusi penganjuran program FnN Pagi Zayan Menyantuni Buka Puasa 6 bersama FBI & Nana di Masjid Putra, Putrajaya.

Program yang menghimpunkan kira-kira 200 jemaah ini bukan sekadar majlis berbuka puasa sunat enam, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah apabila para hadirin turut bersama-sama menunaikan solat Maghrib secara berjemaah dalam suasana penuh harmoni.

Advertisement

Inisiatif ini selari dengan usaha berterusan ZAYAN dalam menggalakkan umat Islam menghayati kelebihan puasa sunat enam di bulan Syawal, yang bukan sahaja melengkapkan ganjaran seumpama berpuasa setahun, malah menjadi latihan istiqamah selepas Ramadan.

Pengurus Saluran Rangkaian Melayu Astro Audio, Eman Zaki, menjelaskan bahawa program tersebut mencerminkan aspirasi ZAYAN untuk tampil sebagai lebih daripada sekadar stesen radio.

“ZAYAN sentiasa mengangkat misi mengejar keberkatan Syawal. Kami mahu masyarakat bukan sahaja memahami kelebihan puasa enam, tetapi turut mengamalkannya secara konsisten sebagai sebahagian daripada gaya hidup beribadah,” katanya.

Pemilihan Masjid Putra sebagai lokasi turut membawa signifikan tersendiri. Masjid ikonik itu dikenali aktif menganjurkan majlis berbuka puasa setiap Isnin dan Khamis sepanjang tahun, selari dengan mesej yang dibawa oleh ZAYAN dalam mempromosikan amalan berpuasa sunat dan ibadah secara berjemaah.

Menurut Eman, sambutan yang diterima membuktikan bahawa budaya mengimarahkan masjid masih subur dalam masyarakat.

“Kami amat menghargai kerjasama pihak Masjid Putra. Kehadiran lebih 200 jemaah menunjukkan bahawa semangat kebersamaan dalam ibadah masih kuat dan relevan,” ujarnya.

Menariknya, penglibatan penyampai popular FBI & Nana melalui jenama FnN Pagi Zayan turut menjadi tarikan utama, sekali gus merapatkan hubungan antara personaliti radio dan pendengar. Kehadiran mereka secara langsung memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dalam suasana santai, sambil berkongsi rezeki dan beribadah bersama.

“Kami mahu penyampai ZAYAN dikenali sebagai figura yang dekat dengan masyarakat, bukan sekadar suara di udara. Program seperti ini membina hubungan yang lebih tulen dan bermakna dengan pendengar,” tambahnya lagi.

Beliau optimis bahawa penganjuran program seumpama ini mampu menjadi pemangkin kepada pengukuhan peranan masjid sebagai pusat ibadah, perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan ummah.

Secara keseluruhannya, program FnN Pagi Zayan Menyantuni Buka Puasa 6 ini mengukuhkan lagi kedudukan ZAYAN sebagai stesen radio yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga mendidik dan menyatukan masyarakat melalui kandungan berteraskan nilai murni.

Sebagai salah satu daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio, ZAYAN terus mengukuhkan jenamanya sebagai 'Destinasi Nasyid Anda', dengan lebih satu juta pengikut di media sosial serta kehadiran merentas pelbagai platform digital.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda