Skip to main content

Advertisement

Berita

Imam Sambilan Didenda RM8,000 Selepas Kantoi Rakam Adik Ipar Dalam Bilik Air

Foto sekadar hiasan

Seorang lelaki yang bertugas sebagai imam sambilan dikenakan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah merakam adik iparnya ketika sedang mandi, bulan lalu.

Advertisement

Tertuduh berusia 36 tahun itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Menurut kertas pertuduhan, dia didakwa bertindak dengan niat menjatuhkan maruah serta mencabul kesantunan seorang wanita berusia 27 tahun apabila merakam mangsa menggunakan telefon bimbit.

Kejadian berkenaan berlaku di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh sekitar jam 6.30 petang pada 24 Mac 2026.

Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga adik ipar tertuduh menyedari terdapat sebuah telefon bimbit yang mencurigakan ketika dia sedang mandi. Setelah diperiksa, wanita itu mendapati telefon berkenaan milik abang iparnya dan diletakkan di bahagian dinding bilik air. Risau rakaman tersebut disalah guna, mangsa terus mengambil peranti itu sebelum membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Najwa Fahima Mohamad Fadzil.

Sebelum hukuman dijatuhkan, pihak pendakwaan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh.

Tambahan pula, insiden itu berlaku ketika keluarga mereka berkumpul di rumah nenek sempena Aidilfitri. Difahamkan tertuduh turut berkhidmat sebagai imam sambilan di sebuah surau di Shah Alam.

Pihak pembelaan pula merayu agar denda minimum dikenakan dengan alasan tertuduh telah menunjukkan penyesalan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya. Tertuduh juga perlu menanggung isteri serta dua orang anak, termasuk seorang yang menghidap penyakit jantung.

Majistret dalam penghakimannya menegur keras tindakan tertuduh dan menyifatkan perbuatannya tidak wajar, lebih-lebih lagi dengan latar belakangnya serta peranan sebagai imam yang sepatutnya menjaga maruah ahli keluarga.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000, dan sekiranya gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama 12 bulan.

Sumber: Gempak

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda