Skip to main content

Advertisement

Gaya Hidup

Takdir Sudah Tertulis, Tetapi Kenapa Kita Masih Perlu Berusaha?

Gambar Hiasan

Dalam perjalanan hidup, manusia sering tertanya-tanya tentang apa yang bakal berlaku termasuk tentang rezeki, jodoh, kejayaan dan ujian. Hakikatnya, persoalan takdir bukan sekadar soal masa depan, tetapi soal keimanan dan bagaimana kita memaknakan setiap detik yang dilalui.

Advertisement

Satu perkara yang pasti, kita tidak pernah mengetahui apa yang telah ditentukan untuk kita melainkan setelah ia benar-benar berlaku. Masa depan adalah sesuatu yang tersembunyi daripada pengetahuan manusia. 

Hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya, daripada awal hingga akhir, A hingga Z. Setiap perkara, sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya, telah tertulis dengan sempurna di Lauh Mahfuz, suatu catatan yang terpelihara dan tidak pernah tersilap.

Malaikat sendiri, sebagai makhluk yang taat, hanya mengetahui sebahagian daripada ketentuan ini dan sekadar apa yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka. Ini menunjukkan betapa terbatasnya ilmu makhluk berbanding ilmu Allah yang Maha Luas.

Gambar Hiasan

Namun, keterbatasan pengetahuan ini bukan alasan untuk berdiam diri. Sebaliknya, ia menjadi asas kepada tanggungjawab manusia untuk terus berusaha. Dalam setiap aspek kehidupan termasuklah ibadah, pekerjaan, hubungan. Kita dituntut untuk memberikan yang terbaik. Solat dilakukan dengan penuh khusyuk dan kesempurnaan, doa dipanjatkan dengan sepenuh pengharapan dan usaha duniawi digerakkan dengan kesungguhan tanpa culas.

Selepas segala usaha dicurahkan, di situlah datangnya peranan tawakal iaitu menyerahkan sepenuhnya hasil dan keputusan kepada Allah SWT. Apa sahaja yang kita peroleh, itulah yang telah ditetapkan untuk kita. Tidak akan terlebih dan tidak akan terkurang walau sedikit.

Memahami konsep ini memberi kesan besar kepada ketenangan jiwa. Apabila seseorang benar-benar yakin bahawa takdir Allah pasti berlaku, dia akan sedar bahawa pilihan yang tinggal hanyalah bagaimana untuk menghadapinya. Sama ada dengan hati yang reda atau dengan perasaan marah dan kecewa.

Hakikatnya, takdir akan tetap berjalan seperti yang telah ditentukan tanpa mengira reaksi kita. Namun, yang dinilai oleh Allah adalah sikap dan respon kita terhadap takdir tersebut. Di sinilah letaknya nilai sebenar seorang hamba.

Gambar Hiasan

Ketenangan bukan datang daripada mengubah takdir, tetapi daripada menerima takdir dengan hati yang lapang. Redha bukan bermakna pasrah tanpa usaha, tetapi menerima dengan yakin bahawa setiap yang berlaku mengandungi hikmah yang mungkin belum kita fahami.

Kerana itu, pilihan sentiasa di tangan kita untuk melalui takdir dengan redha… atau menolaknya. 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda