
Foto: Facebook
Dalam era digital masa kini, maklumat bergerak pantas di media sosial sehingga ramai yang terus percaya dan berkongsi tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu. Dalam Islam, sikap ini perlu dielakkan kerana umatnya diajar untuk mengamalkan tabayyun, iaitu menyelidik sesuatu berita sebelum menerima atau menyebarkannya.
Advertisement
Menerusi perkongsian di Instagram ZAYAN, Ustaz Izzhar Nazri menegaskan kepentingan memastikan kebenaran sesuatu maklumat dengan merujuk firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 6.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepada kamu dengan membawa berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menyakiti suatu kaum dengan kejahilan.”
Beliau turut mengingatkan agar tidak membiarkan berita palsu merosakkan hubungan sesama manusia.
Apa itu tabayyun
Tabayyun berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud menyelidik serta memastikan kesahihan sesuatu berita. Ia menuntut seseorang untuk menilai setiap maklumat dengan teliti supaya tidak terjebak dalam fitnah, penipuan atau tuduhan yang tidak berasas. Amalan ini juga membantu mengelakkan sikap berprasangka buruk terhadap orang lain.
Menurut Imam al-Syaukani, tabayyun bermaksud menyemak dengan mendalam sesuatu khabar, manakala tatsabbut pula merujuk kepada sikap berhati-hati dan tidak terburu-buru sebelum membuat keputusan. Pendekatan ini penting agar sesuatu berita benar-benar jelas sebelum diterima.
Ulama lain seperti Ibn Kathir turut menjelaskan bahawa setiap maklumat, khususnya daripada sumber yang meragukan, perlu diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kesilapan atau penipuan.

Foto sekadar hiasan
Kepentingan tabayyun dalam kehidupan
Amalan menyemak maklumat sangat penting bagi mengelakkan kesan buruk seperti salah faham, fitnah dan perpecahan dalam masyarakat. Islam juga melarang umatnya daripada berprasangka buruk, mengintip kesalahan orang lain serta mengumpat kerana ia boleh merosakkan hubungan sesama manusia.
Menurut Abdul Rahman al-Sa'di, prasangka buruk boleh membawa kepada perbuatan tercela seperti mengumpat dan akhirnya menimbulkan permusuhan antara individu.
Akibat tidak menyemak berita
Kegagalan melakukan tabayyun boleh menyebabkan seseorang membuat penilaian yang salah dan menyebarkan maklumat tidak tepat. Ia bukan sahaja menjejaskan individu lain, malah boleh merosakkan keharmonian masyarakat.
Rasulullah SAW turut memberi peringatan melalui sabda baginda,
“Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan setiap apa yang didengarinya.”
Hadis ini menegaskan bahaya menyebarkan maklumat tanpa tapisan.

Foto sekadar hiasan
Langkah yang perlu diamalkan
Bagi memastikan sesuatu maklumat itu sahih, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Antaranya ialah bersikap berhati-hati sebelum berkongsi berita, memastikan fakta yang diterima tepat, tidak membuat kesimpulan secara tergesa-gesa, serta menjauhi prasangka buruk.
Selain itu, menjaga hubungan silaturahim juga penting agar tidak terjejas akibat penyebaran berita yang tidak benar.
Secara keseluruhannya, tabayyun merupakan amalan penting yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, terutama dalam dunia tanpa sempadan hari ini.
Sikap teliti dalam menerima maklumat bukan sahaja mengelakkan penyebaran berita palsu, malah membantu memelihara keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat.