Skip to main content

Advertisement

General

Suami Meninggal Ketika Haji, Perlukah Isteri Hentikan Ibadah dan Pulang atau Boleh Teruskan?

Foto sekadar hiasan

Kehilangan suami ketika sedang menunaikan haji merupakan satu ujian yang amat berat, lebih-lebih lagi ketika berada di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah yang penuh makna dan harapan.

Advertisement

Bagi ramai wanita, peluang menunaikan haji bersama pasangan adalah impian besar yang diiringi dengan harapan untuk melalui perjalanan spiritual bersama. Namun, ada ketikanya takdir berubah secara tiba-tiba apabila suami meninggal dunia ketika ibadah sedang berlangsung.

Situasi ini menimbulkan persoalan penting, khususnya apabila wanita tersebut perlu menjalani tempoh iddah, sedangkan ibadah haji sudah pun bermula.

Persoalan Iddah dan Ibadah Haji?

Dalam Islam, wanita yang kematian suami wajib menjalani tempoh iddah selama empat bulan sepuluh hari seperti yang dinyatakan dalam al-Quran:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka menahan diri (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari...”

(Surah Al-Baqarah, ayat 234)

Tempoh ini bukan sahaja melibatkan larangan berkahwin semula, tetapi juga kewajipan berkabung atau ihdad.

Foto sekadar hiasan

Jika Belum Berangkat ke Tanah Suci?

Sekiranya seorang wanita masih berada di tanah air dan belum memulakan perjalanan haji, dia tidak dibenarkan untuk berangkat apabila suaminya meninggal dunia.

Dalam keadaan ini, kewajipan iddah perlu diutamakan, manakala ibadah haji hendaklah ditangguhkan ke waktu lain.

Jika Sudah Berada di Makkah atau Dalam Perjalanan?

Berbeza pula jika kematian suami berlaku ketika wanita tersebut sudah berada di Tanah Suci atau sedang dalam perjalanan.

Majoriti ulama berpandangan bahawa dia dibenarkan untuk meneruskan ibadah haji sehingga selesai tanpa perlu pulang atau membatalkannya.

Foto sekadar hiasan

Dalil dan Pandangan Ulama

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa wanita yang telah mendapat keizinan untuk bermusafir, termasuk bagi tujuan haji, boleh memilih sama ada untuk meneruskan perjalanan atau kembali sekiranya tempoh iddah bermula ketika dalam perjalanan.

Pandangan ini turut disokong oleh Al-Khatib al-Syirbini yang menyatakan bahawa wanita tersebut mempunyai pilihan untuk berpatah balik atau meneruskan perjalanan kerana menghentikan perjalanan boleh membawa kesukaran, terutama apabila sudah berada jauh dari tempat asal dan berisiko terpisah daripada rombongan.

Foto sekadar hiasan

Adab Sepanjang Tempoh Iddah

Walaupun dibenarkan meneruskan ibadah haji, wanita tersebut tetap perlu menjaga adab berkabung sepanjang tempoh iddah.

Antaranya termasuk tidak berhias, tidak memakai wangian, mengelakkan solekan serta tidak mengenakan pakaian atau perhiasan yang menarik perhatian.

Selain itu, dia juga perlu menjaga batas pergaulan dan hanya keluar bagi tujuan ibadah atau keperluan asas seperti mendapatkan makanan, minuman dan rawatan.

Secara keseluruhannya, jika wanita masih belum berangkat, kewajipan iddah perlu didahulukan.

Namun, jika dia sudah berada di Makkah atau dalam perjalanan, dia dibenarkan meneruskan ibadah haji hingga selesai dengan syarat mematuhi hukum dan adab sepanjang tempoh iddah.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda