Skip to main content

Advertisement

Berita

SINAR & ZAYAN Santuni Masyarakat Menerusi Program Korban dan Khidmat Komuniti Sempena Aidiladha

Gambar: corporate.astro

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, stesen radio SINAR dan ZAYAN terus memperkukuh komitmen dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pelbagai inisiatif korban dan program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada komuniti di seluruh negara.

Advertisement

Menurut Pengurus Jenama SINAR dan ZAYAN, Zureen Affendi, penganjuran program tersebut bertujuan menyantuni masyarakat serta menyemai nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat pengorbanan yang menjadi inti pati sambutan Aidiladha.

Antara program utama yang dilaksanakan tahun ini ialah Misi Korban Semporna, hasil kerjasama dengan Komuniti Dakwah Tarbiah. Program tersebut turut melibatkan penyertaan beberapa personaliti terkenal seperti Anas Tahir, PU Salman, Saiful Apek dan Yasin Senario.

Misi berkenaan memberi tumpuan kepada komuniti di Semporna, Sabah dengan pelaksanaan ibadah korban melibatkan tiga ekor lembu, yang diagihkan kepada penduduk di beberapa lokasi termasuk Pulau Baik dan Pulau Bum Bum.

Selain pelaksanaan ibadah korban, para sukarelawan turut menjayakan aktiviti gotong-royong di Maktab Tarbiah serta Kampung Labuan Haji, Pulau Bum Bum. Aktiviti tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara sukarelawan dan komuniti.

Dalam perkembangan sama, Program Lapah SINAR turut berlangsung di Tanjung Karang, Selangor menerusi kerjasama strategik bersama Agrobank. Program tersebut menyaksikan penyembelihan enam ekor lembu korban yang kemudiannya diagihkan kepada golongan yang memerlukan di kawasan sekitar.

Program itu turut dimeriahkan oleh penyampai Gen SINAR Pagi iaitu Kak Sheera, Roy Azman dan Hefny, yang berpeluang beramah mesra dengan petugas Agrobank serta masyarakat setempat.

Menurut Zureen, pelaksanaan program-program seperti ini membuktikan peranan SINAR dan ZAYAN bukan sekadar sebagai medium hiburan, malah sebagai platform yang mendekati masyarakat melalui aktiviti berimpak positif.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan termasuk Komuniti Dakwah Tarbiah, Agrobank, para sukarelawan dan masyarakat setempat.

Melalui inisiatif ini, SINAR dan ZAYAN berharap nilai murni Aidiladha seperti pengorbanan, keikhlasan dan kebersamaan dapat terus dipupuk dalam kalangan masyarakat demi kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda