Skip to main content

Advertisement

Berita

Laporan Reformasi dan Digitalisasi Bawa Astro Audio News Rangkul Tempat Ketiga

Astro Audio News sekali lagi membuktikan keupayaannya dalam menghasilkan laporan berkualiti apabila berjaya meraih tempat ketiga bagi kategori radio dalam Anugerah Liputan Media Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).

Pengiktirafan berprestij itu dimenangi oleh wartawan Astro Audio News, Muhammad Najib Md Nazri, menerusi laporan bertajuk “Reformasi dan Digitalisasi: Malaysia Sedang Berubah”, sekali gus membawa pulang sijil penghargaan dan hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.

Advertisement

Laporan berkenaan menyorot pelaksanaan reformasi di bawah Kerajaan MADANI yang memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan cara negara berfungsi melalui pendekatan digitalisasi, pengurangan kerenah birokrasi serta kawalan terhadap ketirisan perbelanjaan. Naratif yang diketengahkan bukan sekadar menyentuh penambahbaikan sistem pentadbiran, malah menekankan perubahan struktur yang lebih menyeluruh dalam cara sesebuah negara beroperasi.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam Majlis Apresiasi Reformasi Kerenah Birokrasi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada malam Isnin, 29 Jun lalu.

Kemenangan ini turut mengukuhkan kedudukan Astro Audio News sebagai antara organisasi media yang konsisten menghasilkan karya berimpak tinggi. Sebelum ini, pasukan tersebut turut mencatat kejayaan menerusi Anugerah Media MPI-Petronas 2025 dan Anugerah Media PERKESO tahun lalu.

Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Audio News, Moganadas Muniandy berkata pencapaian tersebut merupakan hasil daripada dedikasi, komitmen berterusan serta semangat kerja berpasukan yang menjadi tunjang operasi bilik berita.

Menurut beliau, kejayaan ini membuktikan bahawa Astro Audio News yang berpegang kepada slogan Accurate, Reliable, and Newsworthy terus melahirkan wartawan berbakat yang mampu bersaing dan menyerlah dalam industri media.

Dalam masa sama, Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran turut menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut dan berharap ia menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga Astro Audio News untuk terus menghasilkan laporan berkualiti tinggi serta mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

Pengiktirafan ini sekali lagi mencerminkan komitmen Astro Audio News dalam memperkukuh kewartawanan yang berintegriti, relevan dan memberi impak kepada masyarakat menerusi pelaporan yang berkualiti.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda