Skip to main content

Advertisement

Berita

Kembara Reset Jiwa Cetus Gelombang Positif, SINAR dan ZAYAN Dekatkan Masyarakat Dengan Al-Quran

Lebih 300 peserta membanjiri program Kembara Reset Jiwa: Hidup Dengan Al-Quran yang dianjurkan oleh SINAR dan ZAYAN dengan kerjasama Fifty Seven Coffee serta W Kiswah Care Semenyih Selangor, sekali gus membuktikan sambutan memberangsangkan masyarakat terhadap program kerohanian yang disampaikan melalui pendekatan santai dan dekat dengan kehidupan seharian.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 11.00 malam itu diwujudkan sebagai platform untuk membantu orang ramai mendekati Al-Quran dengan cara yang lebih mudah difahami, praktikal dan relevan dengan cabaran kehidupan masa kini.

Advertisement

Suasana program menjadi lebih bermakna menerusi sesi perkongsian inspirasi daripada Penyampai ZAYAN, Faizal Ismail, Penyampai SINAR, Falyq, serta personaliti media sosial Hafizul Faiz. Mereka berkongsi pengalaman peribadi serta pandangan tentang bagaimana Al-Quran mampu menjadi panduan dalam membuat keputusan, menghadapi ujian hidup dan membentuk sahsiah yang lebih baik.

Pengurus Jenama SINAR dan ZAYAN, Zureen Affendi berkata, program tersebut dianjurkan bagi membuka ruang kepada masyarakat untuk bukan sahaja membaca Al-Quran, malah memahami serta menghayati mesej yang terkandung di dalamnya.

"Ramai yang membaca Al-Quran, tetapi tidak semua tahu bagaimana untuk memahami dan mengamalkan mesej yang terkandung di dalamnya dalam kehidupan harian. Sebab itu kami menganjurkan Kembara Reset Jiwa: Hidup Dengan Al-Quran sebagai satu ruang untuk masyarakat mendekati Al-Quran dalam suasana yang santai, selesa dan penuh inspirasi.

"Kami percaya setiap orang mempunyai perjalanan yang berbeza dalam mendekati Al-Quran. Melalui program seperti ini, kami berharap peserta dapat memperoleh kefahaman yang lebih baik serta membina hubungan yang lebih rapat dengan Al-Quran, bukan hanya ketika membaca tetapi juga dalam kehidupan seharian.

"Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan sambutan yang diberikan apabila lebih 300 peserta hadir untuk bersama-sama mengikuti program ini. Ia menunjukkan bahawa masyarakat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambah ilmu, memperbaiki diri dan mendekatkan hati kepada Allah SWT. Kami berharap program ini dapat memberi manfaat serta menjadi titik permulaan kepada perubahan yang lebih baik dalam kehidupan para peserta," katanya.

Program Kembara Reset Jiwa: Hidup Dengan Al-Quran merupakan antara inisiatif berterusan SINAR dan ZAYAN dalam mempersembahkan kandungan serta aktiviti yang membawa inspirasi, menyemai nilai positif dan memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap ajaran Islam melalui pendekatan yang lebih segar dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.

Penganjuran program ini turut membuktikan bahawa masyarakat semakin terbuka untuk menghadiri program kerohanian yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah menyediakan ruang santai untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan motivasi serta memperkukuhkan hubungan dengan Al-Quran dalam kehidupan seharian.

Sebagai salah satu daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio, ZAYAN terus memainkan peranan penting dalam menyampaikan kandungan yang dekat di hati rakyat Malaysia. 

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda