
Platform audio digital SYOK terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju kandungan audio dan podcast di rantau Asia apabila berjaya membawa pulang tiga anugerah pada Asia Podcast Awards 2026.
Kemenangan itu membabitkan tiga kategori berbeza yang mencerminkan kepelbagaian serta kekuatan kandungan yang dihasilkan oleh SYOK, sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap usaha pasukannya dalam meneroka kandungan digital yang kreatif, relevan dan dekat dengan keperluan pendengar.
Advertisement
SYOK memenangi kategori Best Children’s Entertainment Podcast menerusi Bedtime Tales, selain Best Education Podcast menerusi Moon Parenting Podcast.
Tidak terhenti di situ, SYOK turut menerima pengiktirafan Podcast Socials Content Creator of the Year, yang mengiktiraf kecemerlangan platform berkenaan dalam menghasilkan kandungan sosial berkaitan podcast yang kreatif dan inovatif.
Pengurus Operasi Kandungan Digital SYOK, Eman Zaki, menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai satu detik membanggakan buat seluruh pasukan SYOK.
Menurutnya, tiga kemenangan tersebut memperlihatkan kemampuan SYOK menghasilkan kandungan yang merangkumi pelbagai genre dan kelompok pendengar, daripada hiburan kanak-kanak dan pendidikan berkaitan keibubapaan sehinggalah kandungan media sosial.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian ini kerana tiga kemenangan yang diraih memperlihatkan kekuatan dan kepelbagaian ekosistem kandungan SYOK daripada hiburan untuk kanak-kanak, kandungan pendidikan berkaitan keibubapaan, sehinggalah penghasilan kandungan sosial yang lebih kreatif dan inovatif.
“Bagi kami, anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi menjadi bukti bahawa kandungan yang dihasilkan oleh pasukan SYOK mampu mendapat tempat dan perhatian di peringkat Asia.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras, kreativiti dan komitmen seluruh pasukan SYOK. Kami akan terus meneroka idea-idea baharu dan memperkukuhkan kandungan podcast serta digital bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pendengar dan komuniti kami,” katanya.
Eman turut mengakui bahawa sokongan daripada para pendengar dan komuniti SYOK menjadi antara pemangkin utama kepada pasukannya untuk terus menghasilkan kandungan yang berkualiti dan mempunyai nilai kepada masyarakat.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pendengar dan komuniti SYOK yang terus menyokong kami. Setiap sokongan, tontonan, pendengaran dan perkongsian menjadi motivasi untuk kami terus menghasilkan kandungan yang dekat dengan masyarakat,” katanya.
Tiga kemenangan itu juga mencerminkan komitmen berterusan SYOK dalam memperluaskan ekosistem kandungan digital, khususnya ketika corak penggunaan media semakin berubah dan podcast terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Lebih bermakna, pengiktirafan di pentas Asia itu membuktikan kandungan tempatan mampu bersaing serta mendapat perhatian di peringkat serantau apabila digarap dengan idea yang segar, pendekatan kreatif dan pemahaman terhadap kehendak audiens.
Asia Podcast Awards 2026 berlangsung di Jakarta, Indonesia, sebagai sebahagian daripada RadioDays Asia 2026, yang menghimpunkan pemain industri radio, audio dan podcast dari seluruh Asia.
Dengan tiga kemenangan tersebut, SYOK bukan sahaja membawa pulang pengiktirafan, malah terus meletakkan kandungan audio digital Malaysia pada peta industri podcast Asia.