Skip to main content

Advertisement

Berita

Bukan Sekadar Radio! KITA FM Satukan Pelbagai Kaum Dalam Satu Suara

Inisiatif KITA FM yang diterajui oleh Astro Audio wajar diteruskan sebagai sebuah platform yang mencerminkan wajah sebenar Malaysia, selain memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat berbilang kaum, bahasa dan latar belakang menerusi semangat cintakan negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menyifatkan KITA FM sebagai satu usaha yang sangat baik kerana berjaya menghimpunkan pelbagai segmen masyarakat dalam satu platform, sekali gus memperlihatkan keharmonian dan kekuatan perpaduan yang menjadi identiti Malaysia.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi konti KITA FM di Dataran Putrajaya sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, sebelum Menteri Komunikasi itu meluangkan masa meninjau sendiri operasi siaran langsung yang berlangsung sepanjang sambutan bersejarah tersebut.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut menyaksikan lima stesen radio utama Astro Audio iaitu ERA, SINAR, HITZ, MY FM dan RAAGA bersiaran secara langsung dari Dataran Putrajaya menerusi platform KITA FM.

Gabungan lima stesen yang mewakili pelbagai bahasa dan kelompok pendengar itu menampilkan kandungan yang meraikan patriotisme, perpaduan serta semangat kebersamaan rakyat Malaysia.

Menurut Fahmi, konsep yang diketengahkan menerusi KITA FM membuktikan media penyiaran mempunyai keupayaan besar untuk menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

“Saya melihat KITA FM sebagai satu inisiatif yang sangat baik dan wajar diteruskan. Ia melambangkan wajah Malaysia yang sebenar, di mana rakyat daripada pelbagai kaum, budaya dan latar belakang dapat bersama-sama berkongsi aspirasi serta semangat cintakan negara.

“Usaha yang dibawa oleh Astro Audio melalui gabungan ERA, SINAR, HITZ, MY FM dan RAAGA ini menunjukkan bagaimana industri penyiaran radio boleh memainkan peranan besar dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa radio masih kekal relevan sebagai medium komunikasi yang dekat di hati masyarakat.

Dalam era perkembangan teknologi dan kepelbagaian platform digital, radio menurutnya masih mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan mesej penting kepada masyarakat secara pantas, santai dan berkesan.

Lebih daripada sekadar medium hiburan, radio juga mampu menjadi saluran untuk menyampaikan mesej perpaduan, patriotisme serta aspirasi pembangunan negara kepada pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Fahmi berharap lebih banyak inisiatif seperti KITA FM dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh perpaduan nasional, menggalakkan interaksi antara masyarakat berbilang kaum serta menyemai rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.

Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya tahun ini menghimpunkan ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang bersama-sama meraikan detik bersejarah negara dalam suasana penuh semangat dan warna-warni.

Kehadiran rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang sekali lagi memperlihatkan bahawa kepelbagaian bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi antara kekuatan terbesar Malaysia.

Menerusi KITA FM, semangat tersebut diterjemahkan dalam bentuk yang cukup dekat dengan rakyat iaitu melalui suara, bahasa, muzik dan cerita yang berbeza, namun disatukan oleh satu rasa yang sama.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda