Skip to main content

Advertisement

Berita

13 Stesen, 63KM, Satu Semangat! KITA FM Ukir Sejarah Dalam Malaysia Book of Records!

KITA FM melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kempen KITA FM Satu Nama Satu Suara, bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-63.

Kempen tersebut diiktiraf menerusi kategori “Longest Cumulative Distance Covered in an Outdoor Running Campaign” selepas berjaya merealisasikan jarak kumulatif larian sejauh 63 kilometer, sebagai simbolik kepada sambutan Hari Malaysia Ke-63.

Advertisement

Lebih istimewa, pencapaian itu melibatkan penyertaan komuniti menerusi kesemua 13 stesen radio di bawah Astro Audio, sekali gus menghimpunkan ribuan pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam sebuah kempen yang mengetengahkan nilai perpaduan, kebersamaan dan semangat Malaysia.

Menurut Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen KITA FM untuk mendekati pendengar secara lebih dekat selain menyemarakkan semangat perpaduan yang menjadi antara teras sambutan Hari Malaysia.

“Kami amat berbangga apabila KITA FM berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kempen yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia.

“Lebih istimewa, pencapaian ini diwujudkan bersempena Hari Malaysia Ke-63 sebagai simbol perjalanan, perpaduan dan semangat kebersamaan yang terus menyatukan rakyat negara ini.

“Setiap langkah yang diambil sepanjang kempen ini melambangkan satu suara, satu semangat dan satu Malaysia. Pengiktirafan ini bukan sahaja milik KITA FM, malah milik semua pendengar yang telah bersama-sama menjayakan kempen ini di seluruh negara,” katanya.

13 stesen, satu semangat

Antara tarikan utama kempen KITA FM Satu Nama Satu Suara ialah penganjuran larian komuniti yang melibatkan kesemua 13 stesen radio Astro Audio.

Setiap stesen menganjurkan acara larian di negeri masing-masing dengan jarak antara tiga hingga lima kilometer, sekali gus membuka peluang kepada ribuan pendengar untuk menyertai aktiviti berkenaan.

Gabungan jarak larian di setiap lokasi kemudiannya membentuk jumlah kumulatif 63 kilometer, melayakkan kempen tersebut menerima pengiktirafan MBOR.

Pemilihan angka 63 kilometer bukan sekadar mencipta rekod, malah membawa simbolik tersendiri sempena Hari Malaysia Ke-63 dan selari dengan tema Satu Nama Satu Suara yang mengangkat nilai perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.

Selain menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, larian komuniti itu turut menjadi wadah untuk mempertemukan masyarakat daripada pelbagai kaum, usia dan latar belakang dalam suasana yang santai serta penuh semangat muhibah.

Daripada siaran luar ke seluruh negara

Perjalanan KITA FM bermula dengan siri siaran luar pada 29 Ogos 2026 sempena Raptai Penuh Hari Kebangsaan sebelum diteruskan menerusi siaran langsung pada 31 Ogos 2026 bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya.

Kempen itu kemudiannya diperluaskan ke beberapa negeri terpilih menerusi pelbagai aktiviti bersama pendengar dan komuniti setempat.

Menurut Priya, kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila ia terhasil daripada sokongan serta penyertaan masyarakat di seluruh negara.

“Apabila semua stesen radio Astro Audio berganding bahu menjayakan kempen ini, ia membuktikan bahawa perpaduan boleh dizahirkan melalui sebuah pengalaman yang menyeronokkan dan memberi impak kepada masyarakat.

“Ia bukan sekadar sebuah rekod, tetapi menjadi simbol kekuatan apabila rakyat Malaysia bergerak bersama ke arah matlamat yang sama,” katanya.

Hiburan dan aktiviti kemasyarakatan

Bukan sekadar larian, KITA FM turut memeriahkan jelajah menerusi Mini Showcase KITA FM yang menampilkan pelbagai persembahan hiburan di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada pendengar untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan personaliti serta jenama radio kegemaran mereka.

Dalam masa sama, KITA FM turut mengetengahkan aspek kemasyarakatan menerusi beberapa inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.

Antaranya ialah program penggantian topi keledar secara percuma yang diadakan di lima lokasi terpilih iaitu Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching, sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.

Kempen yang mendapat sokongan HURIX’S, Thong Guan, AEON Credit, Google Pixel dan BHPetrol itu sekali gus memperlihatkan bagaimana radio boleh bergerak melangkaui siaran untuk mencipta pengalaman yang lebih dekat dengan masyarakat.

Priya berkata kejayaan tersebut turut membuktikan hubungan kukuh antara Astro Audio dan jutaan pendengarnya yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pelbagai inisiatif yang dianjurkan.

“KITA FM merupakan antara usaha terbaik kami untuk menghargai kesetiaan pendengar kepada 13 stesen radio di bawah Astro Audio.

“Sambutan luar biasa yang diterima di setiap lokasi membuktikan bahawa radio masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati rakyat Malaysia.

“Kami merakamkan penghargaan kepada semua pendengar, rakan penaja, rakan strategik dan seluruh warga kerja yang telah memainkan peranan dalam menjayakan KITA FM Satu Nama Satu Suara.

“Sokongan ini membolehkan kami mencipta sejarah, dan kami berharap dapat terus mendekati masyarakat menerusi lebih banyak program yang menarik pada masa hadapan,” katanya.

Pengiktirafan Malaysia Book of Records itu menjadi satu lagi pencapaian penting buat Astro Audio dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti, selain membuktikan peranan radio sebagai medium yang terus relevan dalam menghubungkan masyarakat menerusi kandungan, hiburan dan pengalaman secara langsung.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda