Foto: Facebook
Anak perempuan kepada Allahyarhamah pelakon, Nadia Kesuma meluahkan rasa syukur atas pengakhiran ibunya yang disifatkan sangat baik selepas solat jenazah disempurnakan pada Isnin di Jeddah, Arab Saudi.
Advertisement
Menerusi perkongsian di Threads, dia memaklumkan lebih 500 jemaah hadir menunaikan solat jenazah bersama ahli keluarga, sekali gus memberikan penghormatan terakhir yang amat bermakna buat arwah ibunya.
“Alhamdulillah ma, syukur pengakhiran mama sangat sempurna dan baik. Lebih 500 orang jemaah di tanah Jeddah yang solatkan dan mendoakan mama. Rakyat Malaysia pun ramai sangat yang mendoakan mama.
“Mama rehat di sana ya. Insya-Allah, dengan doa orang ramai dan amal kebaikan mama di dunia, menjadi saham mama di akhirat. Alhamdulillah syukur sangat-sangat.
“Insya-Allah, kita berjumpa semula sekeluarga di syurga ya mama. Assalamualaikum,” tulisnya.
Dalam pada itu, anaknya turut mendoakan agar Allahyarham ibunya itu ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh sekali gus turut memohon kepada masyarakat untuk sama-sama sedekahkan surah Al-Fatihah buat ibunya.
“Ya Allah, kau tempatkanlah Nadiah Kasumawati Bt Abdul Karim di syurga-Mu yang tertinggi iaitu Jannatul Firdaus, bebaskanlah dia daripada segala seksaan kubur, dan tempatkanlah rohnya dalam kalangan orang yang beriman.
“Mohon sedekahkan al-fatihah kepada arwah, terima kasih orang2 baik” tulisnya lagi.
Sebelum itu, suami Allahyarhamah, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah memaklumkan beliau sendiri mengimamkan solat jenazah isterinya selepas solat Subuh waktu tempatan.
“Jenazah sudah dimandikan oleh anak, Sarah bersama rakan arwah, dan telah disembahyangkan serta diimamkan sendiri oleh saya.
“Alhamdulillah, jenazah akan dikebumikan selepas Subuh waktu Jeddah pada jam 5.44 pagi bersamaan 10.44 pagi waktu tempatan,” tulisnya di Facebook.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Kamarul bersama anak perempuannya berlepas ke Jeddah menaiki penerbangan Saudia pada jam 5.30 petang bagi menguruskan segala urusan berkaitan jenazah di King Fahad Hospital.
Urusan tersebut termasuk melengkapkan dokumentasi serta mengambil barangan peribadi milik Allahyarhamah Nadia Kesuma.
Terdahulu, pelakon filem Syaitan Munafik dan Kudeta itu dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 14 Januari lalu, sebelum berita pemergiannya disahkan.
Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni, Anne Abdullah. Susulan kejadian berkenaan, suami Allahyarhamah merayu agar kerajaan Malaysia menggerakkan usaha diplomatik bagi membantu pencarian isterinya.
Sumber: Threads @myyrraaa