
Penting bagi kita untuk mengetahui pantang larang ketika memasuki hutan. Pantang larang adalah untuk mengelakkan dari berlakunya perkara yang tidak diingini yang mampu mengancam keselematan mahupun nyawa kita. DIsini ada 8 pantang larang yang anda perlu ketahui bila ingin masuk ke hutan.
Advertisement
1. TUTUR KATA & TINGKAH LAKU
Apabila di hutan, kurangkan bercakap kerana takut kita berkata atau melakukan sesuatu yang tidak betul tanpa kita sedar. Kita harus sedar setiap langkah gerak geri kita diperhatikan, cuma kita tidak nampak.
2. RUMPUT MATI & KAWASAN LAPANG
Bila kita melalui sesuatu kawasan yang menghijau rumputnya tetapi terdapat sekelompok kawasan yang rumputnya sudah mati, elakkan melalui kawasan tersebut. Kebiasaannya, kawasan tersebut merupakan tempat untuk orang asli membuang bisa. Bisa hutan ini bermacam, tidak kira yang nampak atau tidak nampak.
Apabila melalui kawasan lapang pula yang seakan dibersihkan, jangan melalui kawasan tersebut ataupun mengotorkan tempat itu. Nanti ada pula yang disumpit. Kebiasaannya ia adalah tempat orang asli untuk bercucuk tanam. Cara yang terbaik adalah cuba cari jalan lain atapun lalu di tepi tempat tersebut.
3. MEMAKAI WANGIAN
Masuk hutan bukan nak pergi ke pecan ya. Ada haiwan yang alah pada wangian, ada juga yang tertarik pada wangian. Deria bau yang ada pada haiwan sangatlah hebat. Bukan seperti manusia, hanya mampu mengesan bau beberapa meter sahaja. Kebanyakan haiwan mampu mengesan bau berkilometer jauhnya.
4. TAPAK KAKI RUSA
Pemangsa utama rusa adalah harimau. Selalunya apabila ada rusa, dibelakangnya harimau mengikut. Apabila ternampak kaki rusa atau kelibatnya, jangan berasa seronok dapat melihat rusa sebesar kereta kancil. Kemungkinan besar sang belang menanti di belakang.
5. BERKHEMAH
Jangan dirikan khemah berdekatan dengan sungai. Lebih elok jauh sedikit dari kawasan tersebut dan kawasan perkhemahan agak tinggi kerana apabila hujan, kawasan yang rendah akan ditenggelami air apabila datangnya KEPALA AIR. Jika ada batu besar berhampiran aliran air, tandakan batu tersebut sebagai penunjuk paras air.
Elakkan berkhemah di bawah pohon buluh. Rimbunan buluh dan daun yang sudah mati kebiasaannya dihuni oleh makhluk berbisa seperti ular. Andai tiada tempat, bersihkan dulu kawasan tersebut dan pastikan kawasan sekeliling ditabur dengan belerang untuk tujuan keselamatan. Pohon buluh juga amat sinonim dengan makhluk khalus yang menjadikan pohon tersebut sebagai tempat tinggal.
Elakkan mendirikan khemah di bawah pokok yang mempunyai ranting yang reput kerana kemungkinan khemah anda akan dihempap dahan patah terutama ketika musim hujan. Periksa dahulu pokok yang ingin dijadikan kawasan teduhan sebelum dijadikan tempat tidur.
6. MAKANAN
Apabila memasak, pastikan kuantitinya sesuai dengan kehendak perut anda. Jangan ada sisa makanan yang ditinggalkan ataupun lebihan makanan yang tidak dimakan.
7. UNGGUN API
Ramai orang menggunakan unggun apiuntuk memasak, memanaskan air dan sebagai pencahayaan. Seeloknya, sediakan kayu api yang mencukupi untuk sepanjang malam dan jangan biarkan unggun api terpadam sehingga terbitnya fajar. Andai terdapat ahli kumpulan seramai 5 orang,pastikan terdapat lima batang kayu yang berbara. Ia boleh dijadikan sebagai senjata andai pak belang, beruang atau gajah dating dekat.
8. BUNYI BISING
Kebiasaannya ada rakan mengeluh kerana bunyi cengkerik dan berbagai lagi yang didengari ketika mereka tidur di khemah. Itu adalah normal. Yang tidak normalnya apabila keadaan sekeliling menjadi sunyi sehingga dengkuran tidur rakan anda yang menyakitkan telinga. Menurut orang asli, apabila keadaan menjadi sunyi secara tiba-tiba, itu menandakan terdapat haiwan yang besar sedang memerhatikan kita. Andai ada bahan letupan seperti mercun, bakarlah mercun tersebut. Sekurang-kurangnya ia dapat menghalang haiwan liar daripada mendekati kita. Tetapi janganlah membakar mercun seperti sambutan hari raya, kelak akan dimaki rakan-rakan.