Foto sekadar hiasan
Mengangkat jari telunjuk ketika duduk tahiyyat merupakan amalan sunat dalam solat. Ia bukan sekadar pergerakan biasa, tetapi satu ‘simbol’ bagi mentauhid dan mengesakan Allah SWT.
Advertisement
Amalan ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA. Beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَعَدَ يَدْعُو وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ
Maksudnya, apabila Rasulullah SAW duduk ketika tahiyyat, Baginda meletakkan tangan kanan di atas paha kanan dan tangan kiri di atas paha kiri serta mengisyaratkan dengan jari telunjuk. Hadis ini direkodkan dalam Sahih Muslim.
Dalam mazhab Syafi‘i, jari telunjuk disunatkan diangkat ketika menyebut kalimah illallah dalam bacaan tahiyyat. Ini kerana lafaz tersebut menegaskan keesaan Allah SWT.
Pandangan ini turut disokong oleh riwayat dalam Musannaf Abdul Razzaq dan al-Sunan al-Kubra. Apabila Ibnu Abbas RA ditanya tentang seseorang yang menggerakkan jarinya dalam solat, beliau menjawab:
ذَلِكَ الْإِخْلَاصُ
Maksudnya, itu adalah tanda ikhlas, iaitu mentauhidkan Allah.
Persoalan seterusnya ialah bilakah jari tersebut perlu diturunkan. Dalam mazhab Syafi‘i, pandangan yang muktamad menyatakan jari telunjuk terus diangkat sehingga selesai salam kedua. Ini kerana bacaan tahiyyat, selawat dan salam semuanya termasuk dalam doa.
Dalilnya juga berdasarkan hadis yang menyebut:
وَرَفَعَ إِصْبَعَهُ الْيُمْنَى الَّتِي تَلِي الْإِبْهَامَ فَدَعَا بِهَا
Maksudnya, Baginda mengangkat jari kanannya lalu berdoa dengannya.
Para ulama memahami frasa berdoa dengannya sebagai petunjuk bahawa jari tersebut kekal diangkat sepanjang bacaan doa dalam solat. Setelah salam kedua selesai diucapkan, barulah jari diturunkan kerana ketika itu solat telah sempurna.
Kesimpulannya, isyarat jari ketika tahiyyat adalah amalan sunat yang membawa makna besar. Ia melambangkan pengakuan bahawa Allah SWT itu Esa dan tiada sekutu bagiNya.
Sumber: YouTube, Mufti Wilayah Persekutuan