Skip to main content

Advertisement

Berita

Hukum Pakai Baju Bergambar Anjing dan Khinzir, Ini Penjelasan Ulama

hukum pakai baju bergambar anjing dan khinzir, ini penjelasan ulamaFoto sekadar hiasan

Persoalan mengenai hukum pemakaian pakaian bergambar haiwan, khususnya anjing dan babi, sering dibangkitkan oleh umat Islam, terutama apabila melibatkan pakaian harian atau hadiah yang diterima daripada pihak tertentu.

Advertisement

Isu ini turut timbul susulan pertanyaan seorang wanita yang menerima baju dari Disneyland Shanghai yang memaparkan watak kartun Winnie the Pooh bersama Piglet, seekor babi. Selain itu, beberapa animasi popular kanak-kanak seperti Peppa Pig, Bluey dan Paw Patrol turut menggunakan ilustrasi haiwan tersebut sebagai karakter utama.

Pandangan Dr Zulkifli Al Bakri

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menjelaskan bahawa secara asasnya, Islam tidak melarang pemakaian pakaian yang mempunyai gambar haiwan, termasuk babi.

Menurut beliau, larangan terhadap gambar haiwan dalam Islam berpunca daripada kebimbangan terhadap unsur pengagungan dan pemuliaan.

“Menjadikan gambar sebagai pakaian tidak menunjukkan perbuatan memuliakan atau mengagungkan,” katanya.

Namun, Dr Zulkifli menegaskan pemakaian tersebut tidak seharusnya membawa kepada usaha menormalisasikan haiwan yang diharamkan sehingga sensitiviti umat Islam terhakis.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama berhubung isu ini dan ada yang mengharamkannya.

“Maka, mengelakkan pemakaian pakaian bergambar haiwan adalah lebih selamat bagi keluar daripada khilaf,” jelasnya.

 

 

Kelonggaran Untuk Kanak-kanak

Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus berkata kanak-kanak diberikan rukhsah untuk memakai pakaian bergambar haiwan, sama seperti kebenaran memiliki patung permainan.

“Kanak-kanak ada kelonggaran, termasuk baju yang ada gambar anjing,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan golongan dewasa sebaiknya tidak mengenakan pakaian bergambar binatang.

“Bagi orang dewasa, kurang elok pakai baju yang ada gambar-gambar haiwan,” katanya lagi.

Gambar Bukan Najis

Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan bahawa gambar anjing tidak dihukumkan sebagai najis mughallazah sebagaimana anjing sebenar.

“Gambar itu bukan najis. Ia tidak sama dengan anjing yang sebenar,” katanya.

Makruh Ketika Solat

Walaupun dibenarkan secara umum, para ulama berpandangan pemakaian pakaian bergambar haiwan adalah makruh ketika menunaikan solat, terutamanya solat berjemaah kerana berpotensi mengganggu tumpuan.

Ustaz Azhar Idrus menegaskan bahawa bukan sahaja gambar haiwan, malah apa-apa gambar atau tulisan pada pakaian yang boleh melalaikan ketika solat turut dihukumkan makruh.

Pendapat ini selari dengan ketetapan Jabatan Mufti Negeri Selangor yang mengharuskan pemakaian baju bergambar kartun anjing, namun memakruhkan penggunaannya ketika solat berjemaah.

Beliau turut merujuk kepada hadis yang menyebut Rasulullah SAW meminta Saidatina Aisyah RA menanggalkan kain langsir bergambar burung kerana mengganggu kekhusyukan Baginda ketika solat.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada gambar kecil yang tidak jelas kelihatan, seperti logo kecil pada pakaian.

Sumber: Threads, YouTube, Mufti Selangor

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda