Skip to main content

Advertisement

General

Mandi Bunga Dalam Islam: Harus atau Haram? Ini Penjelasan Yang Ramai Masih Keliru

Gambar Hiasan

Amalan mandi bunga sering dikaitkan dengan pelbagai kepercayaan dalam masyarakat. Ada yang melakukannya sekadar untuk menyegarkan badan dan menghilangkan bau, namun ada juga yang percaya ia mampu membuang sial, menarik jodoh atau membuka pintu rezeki.

Advertisement

Jadi, apakah hukum mandi bunga dalam Islam?

Secara asasnya, mandi menggunakan bunga atau produk berasaskan bunga adalah harus selagi tujuannya untuk kebersihan, kesegaran badan atau sebagai wangian.

Ia tidak ubah seperti seseorang menggunakan sabun, syampu atau minyak wangi yang mempunyai aroma bunga. Islam sendiri sangat menitikberatkan aspek kebersihan dan penampilan yang baik.

Tiada dalil yang mengharamkan penggunaan bunga dalam mandian jika ia dilakukan untuk tujuan kebersihan dan penjagaan diri.

Yang Menjadi Masalah Adalah Kepercayaan Di Sebaliknya

Hukum berubah apabila mandi bunga dilakukan dengan kepercayaan bahawa ia mempunyai kuasa tertentu selain daripada yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Antara kepercayaan yang sering dikaitkan dengan mandi bunga ialah:

  • Membuang sial atau malang

  • Memanggil atau mempercepatkan jodoh

  • Membuka pintu rezeki

  • Menghalau gangguan makhluk halus

  • Mendatangkan tuah dan keberuntungan

  • Upacara pemujaan atau ritual ghaib

Jika seseorang mempercayai mandi bunga mempunyai kuasa tersendiri untuk mendatangkan manfaat atau menolak mudarat tanpa sandaran syarak, maka ia termasuk dalam perbuatan yang dilarang dan boleh membawa kepada syirik.

Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan Dia mengampunkan dosa yang selain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya."

(Surah An-Nisa', ayat 48)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada orang-orang yang sebelum kamu: Jika kamu mempersekutukan Allah, nescaya akan gugurlah amalmu dan tentulah kamu termasuk dalam kalangan orang yang rugi."

(Surah Az-Zumar, ayat 65)

Islam mengajar umatnya supaya berusaha melalui jalan yang dibenarkan syarak.

Gambar Hiasan

Jika mahu mencari jodoh maka kita seharusnya memperbaiki diri, memperluaskan silaturahim dan sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T. Begitu juga dengan yang ingin dimurahkan rezeki, digalakkan agar seseorang itu bekerja dan berusaha, kerap bersedekah dan memperbanyakkan istighfar serta doa.

Jika anda merasakan diri anda sentiasa dirundung malang dan ditimpa musibah, bersabar, berdoa dan dekatkan diri kepada Allah, bukan dengan mempercayai air mandi bunga atau ritual tertentu yang tidak bersandarkan al-Quran dan Sunnah.

Seorang Muslim perlu meyakini bahawa segala manfaat dan mudarat hanya datang dengan izin Allah. Bunga hanyalah bunga, bukan sumber kuasa ghaib yang boleh mengubah nasib seseorang.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda