Skip to main content

Advertisement

General

Ingatkan Rezeki… Rupanya Jumpa Duit Tercicir Ada Hukum Yang Ramai Abaikan!

Gambar Hiasan

Pernah tak anda berjalan di tepi jalan, tiba-tiba ternampak duit RM10, RM20 atau mungkin lebih? Dalam kepala terus muncul persoalan: 

Advertisement

“Boleh ambil ke? Haram tak kalau guna?”

Isu ini sebenarnya sudah lama dibincangkan dalam Islam di bawah satu konsep yang dipanggil Al-Luqatah, iaitu harta yang tercicir atau hilang daripada pemiliknya lalu ditemui oleh orang lain.

Namun, ramai yang menyangka jika jumlahnya kecil, wang tersebut boleh diambil dan boleh digunakan sesuka hati. Hakikatnya, Islam sangat menitikberatkan soal amanah dan hak pemilik asal.

Apa Itu Al-Luqatah?

Menurut ulama fiqh, Al-Luqatah merujuk kepada:

“Harta yang hilang daripada tuannya dan dijumpai oleh orang lain.”

Ia termasuk duit, barang berharga, telefon, dompet dan apa sahaja yang mempunyai nilai di sisi syarak.

Islam tidak terus mengharamkan mengambil barang yang dijumpai, tetapi menetapkan adab dan tanggungjawab tertentu kepada orang yang menemukannya.

Para ulama berbeza pandangan tentang hukum mengambil barang tercicir.

Mazhab Syafie dan Hanafi membenarkan seseorang mengambilnya jika bertujuan menjaga dan memulangkan semula kepada pemilik. Namun mazhab Maliki dan Hanbali pula lebih cenderung melarang jika dikhuatiri tidak mampu menjaga amanah tersebut.

Dalam mazhab Syafie, hukum mengambil barang tercicir bergantung kepada keadaan:

  • Sunat - Jika seseorang yakin dia amanah dan bimbang barang itu hilang atau diambil orang lain.

  • Harus - Jika tempat itu selamat dan barang berkemungkinan masih ada walaupun tidak diambil segera.

  • Wajib - Jika diyakini barang itu akan hilang atau dicuri jika dibiarkan.

  • Makruh - Jika seseorang rasa dirinya mungkin cuai atau tidak mampu menjaganya.

  • Haram - Jika dia memang berniat untuk mengambil secara tidak amanah atau mahu ‘claim’ sebagai milik sendiri.

Dalam hadis sahih riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

“Kenalilah pengikat dan bungkusannya, kemudian umumkan ia selama setahun. Jika tidak dijumpai pemiliknya maka bolehlah mengambil manfaat daripadanya. Tetapi jika pemiliknya datang menuntut, maka pulangkanlah kepadanya.”

(Hadis Riwayat Muslim, no. 1722)

Hadis ini menunjukkan bahawa barang atau duit yang dijumpai bukan automatik menjadi milik orang yang menemukannya. Ada proses amanah yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

Bagaimana jika wang yang ditemui jumlahnya kecil seperti hanya RM5 atau RM10? Inilah situasi yang paling biasa berlaku.

Menurut para ulama, barang atau wang yang kecil nilainya dan kebiasaannya tidak lagi dicari terlalu lama oleh pemiliknya tidak perlu diumumkan sehingga setahun.

Namun tetap digalakkan untuk membuat hebahan ringkas terlebih dahulu. Contohnya dengan bertanya kepada orang di kawasan sekitar, maklumkan dalam group WhatsApp Kawasan atau buat posting ringkas di Facebook komuniti

Jika selepas beberapa hari tiada siapa menuntut, maka dibolehkan menggunakannya. Tetapi perlu ada niat:

“Jika suatu hari pemilik asal datang menuntut, aku akan ganti semula.”

Kadang-kadang kita terlalu cepat menganggap duit yang dijumpai itu sebagai ‘rezeki terpijak’, sedangkan dalam Islam, hak milik orang lain tetap perlu dihormati walaupun jumlahnya kecil. Mungkin bagi kita RM10 itu sedikit, tetapi bagi orang lain ia mungkin duit minyak, duit makan anak atau baki terakhir dalam dompet.

Sebab itu Islam mendidik umatnya supaya amanah walaupun dalam perkara kecil.

Hukum mengambil duit yang dijumpai di tepi jalan bukan sekadar ‘boleh ambil’ atau ‘tak boleh ambil’. Islam mengajar bahawa setiap harta orang lain ada haknya dan perlu diurus dengan amanah.

Jika jumpa duit kecil seperti RM10, dibolehkan untuk mengambilnya dengan tujuan menjaga dan mencari pemilik terlebih dahulu. Jika selepas dihebahkan tiada siapa menuntut, maka boleh digunakan atau disedekahkan.

Yang penting, jangan terus anggap semua duit tercicir itu automatik menjadi milik sendiri. Amanah tetap amanah, walaupun nilainya kecil.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda