Skip to main content

Advertisement

General

Hati-Hati! Ini 10 Dosa Yang Nampak Biasa, Tetapi Berat di Akhirat

Gambar Hiasan

Dalam kehidupan seharian, ramai orang lebih berhati-hati menjaga imej luaran berbanding keadaan hati sendiri. Kita takut dilabel jahat, tetapi kadang-kadang terlupa bahawa ada dosa yang kelihatan ‘biasa’ di mata manusia, namun sangat berat nilainya di sisi Allah SWT.

Advertisement

Lebih menakutkan, ada dosa yang dilakukan secara berulang tanpa rasa bersalah kerana ia sudah dianggap normal dalam masyarakat. Hakikatnya, dosa paling berbahaya bukan semestinya dosa besar yang membuat seseorang menangis dan menyesal… tetapi dosa yang membuat seseorang masih rasa dirinya baik.

Berikut merupakan ranking ‘Top 10’ dosa yang sering nampak kecil di dunia, tetapi boleh menjadi ‘plot twist’ besar di akhirat kelak.

1. Ujub (Bangga Dengan Amal Sendiri)

Ujub berlaku apabila seseorang terlalu kagum dengan ibadah, pencapaian atau kebaikan dirinya sendiri sehingga memandang dirinya lebih baik daripada orang lain.

Secara luaran mungkin nampak rajin beribadah, aktif bersedekah atau kuat agama. Namun jika hati mula dipenuhi rasa ‘aku lebih baik’, di situlah bahayanya.

Amalan yang banyak boleh rosak hanya kerana hati dipenuhi kesombongan yang tersembunyi.

2. Membuka Aib Orang

Di era media sosial, membuka aib orang menjadi semakin mudah. Ada yang menjadikannya bahan hiburan dan content dengan alasan untuk memberi pengajaran kepada orang ramai, lebih teruk lagi ada yang melakukannya demi untuk menaikkan jumlah pengikut.

Sedangkan menjaga maruah orang lain adalah tuntutan besar dalam Islam. Apa yang kita dedahkan hari ini mungkin menjadi sebab Allah membuka aib kita pula suatu hari nanti.

3. Melewatkan Solat Tanpa Sebab

Bukan meninggalkan solat secara total, tetapi sengaja melengah-lengahkan waktu tanpa keuzuran. Ramai menganggap perkara ini kecil kerana akhirnya tetap solat.

Hakikatnya, solat adalah tiang agama dan hubungan utama antara hamba dengan Allah. Bila solat mula dipandang ringan, hati juga perlahan-lahan menjadi keras.

Gambar Hiasan

4. Derhaka Halus Kepada Ibu Bapa

Bukan semua derhaka hadir dalam bentuk menengking atau melawan. Kadang-kadang ia hadir melalui tarik muka, jelingan, nada suara kasar atau tindakan yang melukakan hati ibu bapa secara diam-diam.

Perkara seperti ini sering dianggap remeh, sedangkan hati ibu bapa sangat mudah terluka.

5. Hasad Dengki

Tidak senang melihat orang lain bahagia, berjaya atau dipuji merupakan penyakit hati yang sangat berbahaya.

Hasad dengki bukan sahaja merosakkan hubungan sesama manusia, malah memakan ketenangan diri sendiri. Orang yang dengki biasanya sukar menikmati nikmat hidup kerana terlalu sibuk melihat apa yang dimiliki orang lain.

6. Riya’ (Beramal Kerana Mahu Dipandang Baik)

Riya’ berlaku apabila seseorang melakukan amal kebaikan dengan niat mahu dipuji, dikagumi atau dilihat sempurna di mata manusia.

Kadang-kadang ia hadir secara halus dan lebih kepada mahu nampak alim, baik, pemurah atau sempurna di media sosial.

Inilah antara ujian paling besar kerana ia melibatkan hati dan manusia sendiri kadang-kadang tidak sedar dirinya sedang riya’.

Gambar Hiasan

7. Ghibah / Mengumpat

Ramai menganggap mengumpat hanya sekadar ‘borak biasa’ atau peduli terhadap seseorang.

Padahal ghibah ialah menyebut tentang keburukan orang lain yang benar sekalipun, jika orang itu tidak suka perkara tersebut diperkatakan.

Lebih menyedihkan, dosa ini sering dilakukan dalam suasana santai sambil ketawa dan bergurau.

8. Memandang Rendah Dosa Kecil

“Alah, benda kecil je.”

Inilah ayat yang sering membuat seseorang terus mengulangi dosa tanpa rasa takut. Sedangkan dosa kecil yang dilakukan berterusan boleh menjadi besar di sisi Allah.

Jangan biasakan hati dengan maksiat walaupun sedikit.

Gambar Hiasan

9. Zina Mata

Apa yang dilihat oleh mata juga memberi kesan kepada hati.

Di zaman digital, zina mata menjadi antara dosa paling mudah berlaku dengan hanya menonton video dan melihat gambar di media sosial membuatkan seseorang itu menjadi sukar untuk menjaga pandangan.

Ia mungkin bermula dengan ‘sekadar tengok’, tetapi boleh membuka pintu kepada dosa-dosa lain.

10. Lidah Berpenyakit

Carut, menghina, mengejek, menyindir dan suka memaki orang kini semakin dianggap normal.

Kerana itulah lidah adalah antara anggota yang paling banyak menyeret manusia ke dalam dosa. Satu ayat yang dilontarkan mungkin kelihatan kecil bagi kita, tetapi sangat melukakan hati orang lain.

Kadang-kadang kita terlalu fokus menjaga penampilan luar dan menitikberatkan bagaimana orang melihat kita, apa orang fikir tentang kita tetapi jarang memeriksa keadaan hati sendiri.

Sedangkan hati itulah yang akan dinilai oleh Allah SWT.

Dosa yang paling bahaya bukan dosa yang membuat kita menangis dan segera bertaubat… tetapi dosa yang membuat kita rasa masih cukup baik untuk tidak berubah.

Sebab itu, sekali-sekala berhenti dan bermuhasabah dalaman diri juga. Mungkin ada perkara yang manusia tak nampak, tetapi sedang berat timbangannya di akhirat nanti.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda