Astro menerusi Tabung Rimba Kita Astro terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar apabila melancarkan Program Eco-Schools dengan kerjasama Green Growth Asia Foundation (GGAF) di sebuah sekolah di Hulu Kelang.
Program yang berlangsung selama dua tahun itu bertujuan mengintegrasikan amalan kelestarian dalam kurikulum sekolah, selain membentuk generasi pelajar yang lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Advertisement
Eco-Schools merupakan program pendidikan kelestarian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dibangunkan oleh Foundation for Environmental Education (FEE). Ia telah dilaksanakan di pelbagai negara termasuk United Kingdom, Denmark dan Jerman, sekaligus membuka peluang kepada pelajar tempatan untuk membina jaringan serta pendedahan global dalam bidang kelestarian.
Menerusi program ini, pelajar akan memainkan peranan utama dalam melaksanakan pelbagai projek berkaitan pengurusan air, pengurusan sisa dan penjimatan tenaga yang disesuaikan dengan cabaran unik di sekolah mereka.
Dengan bimbingan guru, para pelajar bukan sahaja perlu menguruskan projek, malah turut bertanggungjawab mengumpul data, membuat analisis serta membentangkan hasil dapatan mereka sebagai sebahagian daripada proses mendapatkan pengiktirafan Green Flag, satu simbol pencapaian sekolah dalam pendidikan kelestarian.
Ketua Pegawai Program Pendidikan Hijau GGAF, Sri Themudu Bully Baboo berkata, program tersebut bukan sekadar mendidik pelajar mengenai isu alam sekitar, tetapi turut membantu membina keyakinan dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan mereka.
“Adalah penting untuk kami bukan sahaja mendidik para pelajar, malah memberi mereka keyakinan untuk mengendalikan projek serta membentangkan hasil dapatan mereka. Melalui projek-projek ini, pelajar dapat menghayati kesedaran mengenai kelestarian dalam kehidupan seharian dan mendorong perubahan positif dalam komuniti,” katanya.
Program Eco-Schools ini menerima pembiayaan sebanyak RM70,000 hasil sumbangan orang ramai menerusi Tabung Rimba Kita Astro. Inisiatif tersebut mencerminkan usaha kolektif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar serta melahirkan generasi pemimpin muda yang lebih peka terhadap isu kelestarian.
Melalui pendekatan pendidikan yang praktikal dan berimpak tinggi, Astro dan GGAF berharap program ini mampu mencetuskan perubahan budaya ke arah gaya hidup yang lebih lestari dalam kalangan komuniti sekolah dan masyarakat secara keseluruhan.
Sebagai syarikat kandungan dan hiburan terkemuka negara, Astro terus memainkan peranan penting bukan sahaja dalam dunia penyiaran dan hiburan, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosial dan alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif komuniti yang memberi impak positif kepada rakyat Malaysia.