Jangan mudah terpengaruh dengan rawatan yang tular seperti terapi ‘tidur 6 saat’.
Pakar Perubatan ENT, Dr. Fauziah Nasir berkata kawasan leher sangat sensitif kerana mengandungi saluran pernafasan dan struktur penting badan.
“Kena ingat ia bukan tidur dan ia juga bukan terapi kesihatan. Ia berbahaya dan berpotensi menyebabkan pengsan dan seterusnya kecederaan. Dalam perubatan, rawatan yang selamat mestilah ada bukti saintifik. Kena ingat itu. Jika terapi hanya ditularkan di media sosial tanpa sokong kajian, masyarakat perlu lebih berhati-hati.”
Tambah beliau, masyarakat disaran untuk sentiasa mendapatkan rujukan daripada pakar yang bertauliah sebelum mencuba sebarang rawatan baharu.
Masyarakat juga tersalah anggap bahawa ‘microsleep’ sama dengan terapi ‘tidur 6 saat’.
Dr. Fauziah menegaskan ‘microsleep’ ialah keadaan otak tertidur seketika akibat keletihan melampau dan berlaku secara semula jadi tanpa paksaan.
“Microsleep bukan trend tidur 6 saat. Biasanya ia berlaku hanya beberapa saat. Dalam tempoh yang singkat itu, kita boleh kehilangan kawalan terhadap apa yang kita lakukan. Keadaan ini bukan satu keadaan yang selamat dan amat membahayakan. Ia juga tanda bahawa badan kita terlalu letih dan memerlukan tidur yang mencukupi.”
Jelas beliau, memastikan tidur yang cukup dan berkualiti adalah cara sebenar untuk merehatkan otak bukan bergantung kepada terapi tular tanpa bukti saintifik.
Sementara itu,Dr. Fauziah juga memberikan nasihat kepada pemandu untuk memastikan pemanduan yang selamat ketika musim perayaan.
“Kita mesti tidur secukupnya. Rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Elakkan memandu ketika terlalu mengantuk. Dan sekiranya ada pemandu lain, boleh bergilir untuk memandu. Pastikan kita bukan sahaja sampai ke destinasi tetapi sampai dengan selamat bersama orang yang kita sayang.”
Tambah beliau, keletihan boleh menjejaskan fokus pemanduan tanpa disedari.
Terdahulu, terapi ‘tidur 6 saat’ ini tular di media sosial yang kononnya boleh membantu pesakit tidur dengan lebih nyenyak.