Skip to main content
Setiap Jejak Ada Harganya

Oleh Najib Nazri

Seorang anak menunggu kepulangan ayahnya sehingga terlena di ruang tamu. Seorang isteri pula setia menanti suami untuk menikmati makan malam bersama, namun hidangan yang disediakan akhirnya menjadi sejuk tanpa disentuh.

Ketika itu, insan yang bergelar ayah dan suami ini sedang meredah hutan, menempuh cuaca yang tidak menentu kerana menunaikan amanah untuk mencari ahli keluarga orang lain yang dilaporkan sesat.

Bagi sesetengah pihak, pengorbanan seperti ini mungkin dianggap lumrah dalam kehidupan anggota beruniform. Namun mereka juga manusia biasa yang mahu melihat anak membesar dan meluangkan masa bersama keluarga.

Itulah harga yang dibayar oleh seorang anggota penyelamat. Bukan sekadar keletihan meredah hutan atau risiko yang mengancam nyawa, tetapi masa bersama keluarga yang tidak mungkin dapat diganti.

Setiap kali seorang pendaki dilaporkan sesat, tumpuan selalu terarah kepada usaha membawa mangsa keluar dari hutan dengan selamat. Namun di sebalik setiap operasi mencari dan menyelamat (SAR), ada anggota bomba yang turut berhadapan dengan risiko yang sama.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Muhammad Azizulhakim Idris berkata setiap operasi SAR bermula dengan ketidaktentuan kerana anggota penyelamat tidak mengetahui cabaran sebenar yang menanti mereka di dalam hutan.

"Kita tak tahu dalam hutan yang tebal ini ada haiwan liar ke, tiba-tiba hujan, kilat menyambar, pokok boleh tumbang. Tempoh penyelamatan orang sesat ini bukan ambil masa 10 minit atau 20 minit. Ada kalanya dua jam, empat jam, malah berhari-hari baru kita boleh jumpa mangsa."

Menurut beliau, anggota bomba bukan sahaja berdepan ancaman alam semula jadi, malah perlu membuat keputusan dalam keadaan yang serba tidak menentu. Setiap langkah perlu diatur dengan teliti kerana kesilapan kecil mampu mengundang risiko kepada mangsa dan pasukan penyelamat sendiri.

Dalam operasi SAR di kawasan hutan, bentuk muka bumi yang mencabar, cuaca yang berubah tanpa amaran dan kawasan tanpa liputan komunikasi menjadikan setiap operasi memerlukan strategi serta ketahanan fizikal yang tinggi.

Azizulhakim berkata masa memainkan peranan penting kerana peluang menemui mangsa dalam keadaan selamat semakin berkurangan apabila pencarian berlarutan.

Bagi anggota bomba, cabaran itu bukan alasan untuk memperlahankan operasi. Sebaliknya, ia menjadi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan walaupun terpaksa meredah cerun, sungai dan hutan tebal selama berjam-jam.

Dalam beberapa keadaan, operasi yang selesai pada waktu tengah hari akan disusuli pula dengan panggilan kecemasan baharu pada sebelah petang atau malam.

Azizulhakim berkata situasi sedemikian bukan sesuatu yang luar biasa, terutama apabila berlaku beberapa insiden kehilangan dalam tempoh sehari.

"Kita dah menyelamat pukul 9 pagi, selesai bawa turun mangsa pukul 12 tengah hari. Pukul 3 petang terima lagi kes baharu. Pukul 9 malam ada lagi. Bila selesai pukul 1 pagi, kita dapati masih ada lagi mangsa yang sesat."

Beliau berkata setiap panggilan perlu diberi keutamaan kerana bagi keluarga mangsa, masa yang berlalu membawa seribu kegusaran. Namun bagi anggota bomba, masa yang sama bermakna mereka perlu terus bertugas walaupun tubuh semakin keletihan.

Operasi di sekitar Bukit Wawasan, Puchong - Foto Balai Bomba dan Penyelamat Puchong

Ketika operasi SAR ini berlangsung, tekanan terhadap anggota bomba tidak hanya datang daripada keadaan hutan. Mereka juga perlu berhadapan emosi keluarga mangsa.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala, Nor Mohd Shukri Awang berkata situasi itu memerlukan anggota untuk mempunyai ketahanan mental yang tinggi.

"Keluarga akan tanya bila mangsa nak jumpa, kenapa lambat sangat, kenapa tak buat cara A, cara B, cara C. Penyelamat perlu mempunyai mental yang kuat untuk menghadapi tekanan emosi daripada keluarga."

Beliau berkata setiap pertanyaan itu lahir daripada rasa kasih terhadap ahli keluarga yang hilang. Namun dalam masa yang sama, anggota bomba perlu mengekalkan fokus kerana setiap keputusan ketika operasi boleh memberi kesan kepada keselamatan semua yang terlibat.

Dalam hal ini ketahanan mental merupakan antara elemen terpenting dalam operasi SAR kerana keletihan fizikal dan tekanan emosi boleh menjejaskan komunikasi sesama anggota.

Menurut beliau, anggota bomba sedar risiko yang menanti setiap kali memasuki hutan. Namun mereka tetap melaksanakan tugas kerana setiap panggilan kecemasan membawa harapan sebuah keluarga.

"Bila hadir operasi, apa yang dilalui oleh pendaki itu kami perlu lalui."

Ungkapan ringkas itu menggambarkan hakikat sebenar operasi SAR. Laluan yang dilalui mangsa turut dilalui anggota penyelamat. Risiko yang dihadapi mangsa turut dikongsi. Bezanya, anggota bomba memilih untuk memasuki kawasan berbahaya itu bagi memastikan orang lain berpeluang pulang ke pangkuan keluarga.

Team Building Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Siri 2 Tahun 2026

- Foto Media Rasmi JBPM Negeri Selangor

Bertepatan dengan isu ini, Ketua Unit Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Mohd Nazrullah Abdul Aziz, minta orang ramai supaya tidak membiarkan rasa ingin mencuba mengatasi pertimbangan terhadap keselamatan diri.

Menurut beliau, keberanian bukan bermaksud berani melakukan sesuatu di luar kemampuan sendiri atau sengaja memilih laluan yang lebih ekstrem semata-mata untuk mencari pengalaman berbeza. Sebaliknya, setiap pendaki perlu mengenali had kemampuan fizikal, membuat persediaan yang mencukupi dan mematuhi segala panduan keselamatan sebelum memasuki kawasan hutan.

"Jangan terlalu berani. Berani mencuba di luar kebiasaan, berani melakukan perkara di luar kemampuan diri. Kita perlu sedar dan tahu akan kemampuan serta kebolehan diri sendiri. Pastikan kesihatan dan keselamatan diri sentiasa menjadi keutamaan."

Beliau berkata, aktiviti mendaki bukanlah sesuatu yang perlu dielakkan kerana rekreasi di hutan memberi pelbagai manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental. Namun, setiap langkah perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab serta mengikut peraturan yang ditetapkan.

Hakikatnya, setiap operasi mencari dan menyelamat bukan sekadar melibatkan seorang pendaki yang tersesat. Di sebalik setiap panggilan kecemasan, ada anggota bomba yang meninggalkan keluarga, menggadaikan masa dan mempertaruhkan keselamatan demi memastikan orang lain dapat kembali ke pangkuan insan tersayang.

Mengakhiri penulisan ini, satu keputusan yang didorong oleh kedegilan mampu mengundang kemalangan, membahayakan diri sendiri, malah memaksa anggota penyelamat mempertaruhkan nyawa untuk membantu.

Dalam soal keselamatan, keberanian bukan diukur melalui sejauh mana seseorang mampu menawan puncak, tetapi sejauh mana mereka bijak membuat keputusan agar dapat pulang dengan selamat.

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda