KKM akan umum beberapa langkah penguatkuasaan berkaitan isu vape, terutama berhubung penyalahgunaan dadah dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia susulan kebimbangan terhadap penggunaan vape 'zombie' yang dicampur dengan bahan tertentu, termasuk dadah sintetik.
Sementara itu, polis Melaka tahan empat lelaki berkaitan kes pergaduhan hingga menyebabkan seorang maut dipercayai berpunca daripada urusan jual beli vape berperisa dadah ‘mushroom’.
__
Kerajaan sedang merangka usaha penstrukturan semula 36 Politeknik di seluruh negara bagi memperkasa peranannya agar tidak terhad kepada penawaran sijil dan diploma semata-mata.
Kementerian Pendidikan Tinggi berkata langkah itu bertujuan memastikan institusi berkenaan mampu memenuhi keperluan industri masa kini dan akan datang, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.
__
Dan, seramai 625 warga pendidik di Perak dilapor diberi penghormatan untuk menjadi khatib jemputan solat Jumaat di negeri itu hari ini, sempena Hari Guru.
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ini bertemakan “Guru Bitara, Nadi Negara” yang akan diadakan di Ipoh, esok.