Skip to main content
BERITA| Kerajaan teliti cadangan semakan semula subsidi petrol golongan berpendapatan tinggi

Kerajaan masih teliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi.

 

Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.

 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika mengulas cadangan semakan semula subsidi bagi golongan T20 serta pelan kesinambungan berkaitan subsidi minyak.

 

Sebelum ini, Menteri Ekonomi dilaporkan memberitahu, Perdana Menteri dijangka mengumumkan pelan berkaitan perkara tersebut pada pertengahan bulan ini. 

 

Ia susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz.

__

 

Malaysia pertingkatkan saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa bagi menyekat kemasukan hantavirus ke dalam negara.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setakat ini, lebih 22,300 kapal dan bot telah diperiksa di pintu masuk negara.

 

Tambahnya, sistem penjagaan kesihatan negara berada pada tahap bersedia walaupun tiada kes hantavirus melibatkan rakyat Malaysia atau dilaporkan di negara ini setakat ini.

__

 

Dan, remaja kelahiran tahun 2008 boleh mula semak status pemilihan mereka ke PLKN 3.0, Siri 3, 2026 hari ini. 

 

Mereka yang terpilih mempunyai masa sehingga 19 Jun untuk sahkan kehadiran melalui sistem e-PLKN.

 

Dalam pada itu, JLKN memaklumkan Kem Askar Wataniah, Bukit Keteri, Perlis dipilih sebagai lokasi ketiga pelaksanaan PLKN.

 

Penambahan kem baru itu selepas dua lokasi iaitu di KL dan Pekan, Pahang dibuat berdasarkan  keperluan serta ketersediaan fasiliti latihan bagi pelaksanaan program.  

 

Pihaknya juga tegaskan kehadiran pelatih yang terpilih adalah wajib dan kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Latihan Khidmat Negara.

ZAYAN Destinasi Nasyid Anda